Saya pangku dan sempat ajar ibu mengucap - Anak
KUANTAN, RABU, 30 Oktober, 2013: Seorang daripada tiga jemaah haji yang maut dalam kemalangan di Kilometer 210.2, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) awal pagi ini menghembuskan nafas terakhir di pangkuan anaknya.
Saidi Sidek, 47, yang bergegas ke lokasi sebaik sahaja dimaklumkan van yang membawa ibunya, Fatimah Said, 63, terlibat dalam kemalangan berkata, ketika tiba, wanita tersebut masih bernyawa.
Menurut Saidi, menyedari keadaan ibunya yang parah, dia kemudian terus memangku untuk mengajar Allahyarham mengucap dua kalimah syahadah.
Sebelum itu, kami sekeluarga menunggu ibu di pejabat syarikat terbabit di Tanah Putih dan kakitangan di situ yang memaklumkan van dinaikinya terlibat nahas.
Saya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati ibu masih hidup. Saya sempat memangku ibu dan mengajarnya mengucap sebelum meninggal dunia kira-kira pukul 4.30 pagi," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini hari ini.
Tiga daripada lima jemaah haji yang dalam perjalanan pulang daripada menunaikan ibadah itu maut selepas van yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah treler membawa muatan bijih besi di Kilometer 210.2, LPT arah Kuantan dekat Gambang di sini awal pagi ini.
Dalam nahas pukul 3.40 pagi itu, mangsa yang terbunuh ialah Kamarudin Ab. Rahman, 43, dari Permatang Badak Maju; ibunya, Zainab Awang Hassan, 59, dari Kampung Seri Teruntum dan Fatimah, dari Kampung Rozali, Jalan Gambang.
Kata Saidi, sebelum kejadian, ibunya ada menghubunginya supaya tidak perlu menjemputnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana mahu menaiki kenderaan yang disediakan oleh agensi pelancongan swasta.
Saidi juga tidak menyangka pesanan ibunya sebelum berangkat ke Tanah Suci supaya menjaga empat adiknya dan keluarga dengan baik adalah nasihatnya yang terakhir.
Sementara itu, anak Zainab, Sofian Ab. Rahman, 36, berkata, dia sekeluarga merancang untuk membawa ibunya pergi ke Langkawi pada Disember ini selepas pulang dari Mekah.
Tetapi tak sangka hasrat tersebut tidak kesampaian apabila ibu meninggalkan kami sebelum sempat berjumpa dengannya," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment