My Add

Wednesday, 30 October 2013

Wanita nadi pertumbuhan global - Najib

LONDON, SELASA, 29 Oktober, 2013: Memperkasa serta memartabatkan golongan wanita perlu dijadikan agenda utama jika sesebuah negara mahu mencapai pertumbuhan ekonomi dan pembangunan yang mapan.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dalam mencari model pertumbuhan ekonomi baharu, peranan wanita tidak boleh dinafikan, malah perlu diletakkan sebagai nadi pertumbuhan global.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menggariskan tiga bidang utama yang perlu diberi penekanan dalam memperkasakan wanita iaitu melalui pendidikan, tenaga kerja dan kepelbagaian korporat yang akan membuka kunci kemakmuran kepada rakyat dan negara.

"Dengan mendidik anak perempuan dan wanita kita, meningkatkan penglibatan mereka dalam pekerjaan dan memastikan peluang terbaik kekal terbuka untuk semua, kita akan dapat mengukuhkan syarikat, ekonomi dan prospek untuk masa depan kita," kata Perdana Menteri ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) di sini hari ini.

Ini merupakan kali pertama WIEF yang merupakan inisiatif Malaysia dan dinaungi oleh Perdana Menteri diadakan di luar negara Islam. Malah forum kali ini dihadiri oleh sembilan ketua negara dan kerajaan - yang terbanyak dalam sejarah penganjurannya.

Dalam ucapannya di hadapan kira-kira 2,700 peserta itu, Najib menegaskan, memperkasakan wanita mampu meningkatkan produktiviti, memperbaiki prestasi membuat keputusan korporat dan mengukuhkan ekonomi.

Lagi pun kata beliau, mengangkat dan memartabatkan wanita adalah selari dengan ajaran agama, oleh itu negara-negara Islam terutamanya tidak perlu takut untuk belajar daripada mereka yang telah berjaya.

"Orang pertama memeluk Islam adalah wanita iaitu Khadijah. Daripada semua pedagang di Mekah, baginda yang paling berjaya, seorang usahawan yang menguruskan empayar perniagaan antarabangsa," jelas Najib.

Kata Najib, Islam telah meletakkan contoh dan asas dalam memberi kebebasan kepada wanita untuk terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam ekonomi termasuk boleh memiliki aset, mewarisi harta, menguruskan kewangan dan terlibat dalam politik.

Semua prinsip itu, kata Najib, tidak pernah berubah, malah contoh yang jelas telah ditunjukkan oleh Rasulullah sepanjang hidup baginda.

Katanya, fakta Bank Dunia menunjukkan setiap peningkatan satu peratus dalam jumlah wanita yang mendapat pendidikan menengah boleh membantu meningkatkan pendapatan per kapita sesebuah negara sekitar 0.3 peratus selain mengatasi masalah kematian kanak-kanak.

"Mendidik wanita merupakan faktor kritikal untuk mencapai kejayaan. Bukan sahaja untuk wanita terbabit dan keluarganya, tetapi juga kepada negara. Apabila membabitkan pendidikan wanita dalam mata pelajaran teras seperti sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik pula, dunia Islam berupaya untuk mengepalainya," katanya.

Bagaimanapun, kata Najib, menyediakan peluang pendidikan sahaja tidak mencukupi jika tidak disertakan dengan peluang untuk mendapatkan pekerjaan.

Di Malaysia, kata Perdana Menteri, 49.5 peratus wanita terlibat dalam pasaran buruh negara dan jumlah itu akan dipertingkatkan kepada 55 peratus untuk tempoh tiga tahun akan datang melalui pengenalan pelbagai polisi. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment