Hanya warga Malaysia, Nepal diambil kerja
PUTRAJAYA, RABU, 30 Oktober, 2013: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bakal bekerjasama dengan Jabatan Imigresen melalui Ops ID bagi memastikan kesemua pengawal keselamatan di negara ini hanya terdiri daripada warganegara Malaysia atau Nepal yang dibenarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) seperti termaktub di dalam perundangan negara.
Ketua Pengarah JPN, Datuk Jariah Mohd. Said berkata, tindakan itu diambil setelah operasi besar-besaran yang dijalankan pihaknya sejak semalam, mendapati terdapat ramai warganegara asing, selain Nepal bertugas sebagai pengawal keselamatan.
"Malangnya, JPN tidak boleh mengambil tindakan ke atas mereka. Kami hanya boleh mengenakan tindakan ke atas mereka yang memalsukan MyKad atau menggunakan kad pengenalan diri individu lain sahaja.
"Justeru, kerjasama ini akan saling melengkapi. Kita mahu pastikan kali ini tiada siapa yang terlepas melalui Ops ID secara besar-besaran yang sudah digerakkan semalam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, operasi itu mula menampakkan hasil apabila dua lelaki Filipina ditahan kerana menggunakan MyKad milik individu lain setelah pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas 282 pengawal keselamatan di Putrajaya, Cyberjaya, Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.
Kedua-duanya didakwa di Mahkamah Majistret Sepang semalam juga dan dijatuhi hukuman penjara enam bulan di atas kesalahan tersebut.
Mengulas lanjut katanya, apabila ditanya tentang tindakan menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bertugas sebagai pengawal keselamatan, kebanyakan warga asing tersebut memberi alasan kononnya mereka hanyalah 'pengawal pengganti'.
"Apabila ditanya siapa yang mereka gantikan, semuanya tidak boleh jawab. Disebabkan itu kami menganggap kerjasama dengan Jabatan Imigresen ini sebagai sesuatu yang amat penting," ujarnya.
Dalam pada itu, Jariah turut berharap agar kesemua pihak yang mahu menggaji mana-mana pekerja dalam apa jua bidang agar memeriksa terlebih dahulu kesahihan MyKad individu berkenaan dengan JPN.
"Syarikat itu mungkin boleh memberi senarai nama dan nombor MyKad individu tersebut kepada KDN terlebih dahulu. Jika ada rekodnya, kita mahu lihat pula orangnya agar boleh diambil biometrik serta dicamkan gambarnya.
"Berilah kerjasama kepada kami demi kebaikan semua. Saya amat mengalu-alukan kerjasama sedemikian terutamanya dari syarikat-syarikat keselamatan ketika ini," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment