My Add

Tuesday, 1 October 2013

379 tuduhan terima RM940.4 juta

Oleh MARZITA ABDULLAH dan SUWARNI MOKHTAR

KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 September, 2013: Lima individu dan sebuah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 277 pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram daripada syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva (M) Sdn. Bhd. (GMSB), berjumlah melebihi RM937 juta.

Pengarah syarikat Ng Adventure Sdn. Bhd. (NASB), Ng Wan Yee, 34, dan adiknya yang juga Pengarah Eksekutif syarikat itu, Ng Yee Yaw, 32, serta NASB masing-masing menghadapi 82 pertuduhan.

Suri rumah, Chiew Soo Ling, 49, menghadapi 26 pertuduhan; Alex Yew Soo Hun, 37, (tiga pertuduhan); dan Tony Yao Kee Bon, 52, (dua pertuduhan).

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Shah Alam dekat sini, Wan Yee, Yee Yaw, Soo Ling, Alex dan Pengarah GMSB, Datuk Philip Lim Jit Meng, 56, serta GMSB menghadapi 102 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM3.4 juta, dua tahun lalu.

Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan masing-masing.

Soo Ling merupakan isteri kepada Philip manakala Yee Yaw dan kakaknya, Wan Yee merupakan anak kepada penasihat GMSB, Datuk Ng Poh Weng

Pada Jumaat lalu, Philip dan Poh Weng, bersama-sama empat tertuduh lain, GMSB dan syarikat Success Attitude Sdn. Bhd., didakwa atas 913 pertuduhan pengubahan wang haram dan 10 pertuduhan menerima deposit tanpa lesen melibatkan urus niaga bernilai hampir RM5.5 bilion serta tiga tuduhan membuat pernyataan palsu dalam iklan.

Di Mahkamah Sesyen di sini, Wan Yee, Yee Yaw, NASB, Soo Ling, Alex Yew Soo Hun dan Tony didakwa menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM937,604,400 daripada GMSB di antara awal 2011 dan Disember 2012.

Wang tersebut kemudian didakwa dipindahkan ke beberapa akaun syarikat lain dan juga akaun peribadi mereka.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) yang membawa hukuman denda sehingga RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mardizatun Nisa Ahamadul Kaber manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, A.S. Dhaliwal.

Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan Wan Yee dan Yee Yaw masing-masing dibebaskan dengan ikat jamin RM100,000 berserta dua penjamin manakala Soo Ling diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin.

Soo Hun dan Kee Boon pula dikenakan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 27 November ini.

Di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Philip, Soo Ling, Yee Yaw bagi pihak dirinya dan NASB, Wan Yee dan Alex didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang sebanyak RM3.4 juta yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di beberapa tempat antaranya HSBC Bank Malaysia, Jalan Sultan, Petaling Jaya dan CIMB Bank Bhd., Jalan PJU 1/3..Sunwaymas Commercial Centre, Petaling Jaya, dan CIMB Bank Bhd., Jalan USJ 9 UEP Subang Jaya, dekat sini antara Januari 2011 dan Oktober 2012.

Philip , Soo Ling dan NASB masing-masing menghadapi 22 pertuduhan melibatkan RM1.1 juta, Wan Yee dan Yee Yaw masing-masing menghadapi 19 pertuduhan melibatkan RM1.1 juta dan Alex menghadapi satu pertuduhan melibatkan RM100,000.

Timbalan Pendakwa Raya, Mardziatun Nisa Ahamad Kabir mengemukakan pertuduhan mengikut subseksyen 4(1)(a) AMLATFA turut memohon agar kes semua tertuduh berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di ibu negara.

Hakim Datuk Noradida Ahmad membenarkan Philip diikat jamin RM80,000; Yee Yaw (RM60,000); Soo Ling (RM30,000); Wan Yee (RM80,000) dan Alex (RM20,000) dengan seorang atau dua penjamin dan pasport masing-masing diserah kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.

Beliau turut membenarkan kesemua kes tertuduh itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini dan wang jaminan dibayar sebelum pukul 3 petang esok berikutan kes berkenaan bermula lewat petang. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment