My Add

Wednesday, 2 October 2013

72,000 pemandu pengangkutan awam tidak bayar saman

KUALA LUMPUR, SELASA, 01 Oktiber, 2013: Sebanyak 72,316 pemandu kenderaan perkhidmatan awam mempunyai rekod saman tertunggak sehingga 19 September lepas, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi.

Beliau berkata, saman berkenaan dikeluarkan atas kesalahan yang dikuatkuasa di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Bagaimanapun, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak mempunyai rekod sama ada pemandu-pemandu itu masih memandu pengangkutan awam," katanya menjawab soalan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (Kalabakan-BN) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Abdul Ghapur bertanya mengenai bilangan pemandu pengangkutan awam yang mempunyai kes tertunggak dengan pihak berkuasa tetapi masih memandu pengangkutan awam.

Abdul Aziz berkata, menjadi tanggungjawab pengusaha pengangkutan awam untuk memastikan pemandu mereka mempunyai rekod bersih dan tidak memiliki saman tertunggak.

Mengenai pemandu bas yang terlibat dalam tragedi kemalangan di Genting Highlands 21 Ogos lepas, beliau berkata, mendiang Lim Kok Hoe mempunyai 16 saman tertunggak.

Abdul Aziz berkata, kementerian telah menasihati JPJ supaya menubuhkan sebuah unit khas yang boleh mengambil tindakan serta-merta terhadap pemandu kenderaan awam yang melakukan kesalahan.

"Kaedah yang lebih ketat akan dilaksanakan oleh JPJ dengan terus menggantung dan membatalkan lesen pemandu berkenaan," katanya menjawab soalan Abdul Ghapur mengenai tindakan lebih tegas dibuat oleh kementerian untuk mengatasi masalah pemandu kenderaan perkhidmatan awam yang melanggar peraturan. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment