BN siap sedia hadapi PRK Sungai Limau - Muhyiddin
KOTA KINABALU, ISNIN, 30 September, 2013: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Barisan Nasional (BN) sudah bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, segala persiapan telah dilakukan termasuk menubuhkan jawatankuasa peringkat negeri selain melantik Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir sebagai Pengerusinya.
Kata beliau, BN hanya menunggu tarikh daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung PRK tersebut.
"Jentera parti akan digerakkan dari sekarang dan mesyuarat pertama jawatankuasa di peringkat negeri telah diadakan semalam," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Kerusi DUN Sungai Limau kosong berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Azizan Abdul Razak di Hospital Sultanah Bahiyah di sini pada 26 September lalu, akibat jangkitan kuman dan kegagalan organ dalaman yang pelbagai, selepas lebih empat bulan mengalami masalah kesihatan yang serius.
Bekas Menteri Besar Kedah itu memenangi DUN Sungai Limau dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu dengan majoriti sebanyak 2,774 undi. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment