My Add

Monday, 28 October 2013

Gerakan kena 'cermin diri sendiri' dahulu - Perkasa

KUALA LUMPUR, AHAD, 27 Oktober, 2013: Gerakan perlu 'cermin diri sendiri' sebelum menyalahkan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di atas kekalahan teruk parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) dan PRU-13.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, kekalahan Gerakan dalam pilihan raya umum tiada kena mengena dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu yang hanya ditubuhkan selepas PRU-12 sebaliknya disebabkan masalah dalaman serta penolakan pengundi Cina sehingga Pulau Pinang jatuh ke tangan pembangkang.

"Mereka kena kaji kelemahan diri sendiri, jangan salahkan orang lain dan menggunakan nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk kata beliau tidak suka Perkasa.

"Perkasa ditubuhkan sebagai NGO, bukannya untuk buat Perdana Menteri suka Perkasa atau pembangkang suka Perkasa, suka atau tidak suka, Perkasa adalah NGO dan apa isu baik untuk negara yang dilindungi Perlembagaan negara, kita akan sokong dan kita juga beri teguran," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, ketika berucap dalam persidangan Perwakilan Nasional Gerakan, bekas Pemangku Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn berkata, perjuangan Perkasa untuk membela orang Melayu dan bumiputera merupakan ancaman kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Dalam sidang akhbar kemudiannya, Ko Youn mendakwa, Perdana Menteri juga tidak bersetuju dengan perjuangan Perkasa.

Menurut Ibrahim, Gerakan sewajarnya sedar Perkasa memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dalam PRU-13 tanpa mengira parti komponen yang bertanding termasuk Gerakan.

Katanya, parti itu tidak sewajarnya meletakkan Najib dalam keadaan rumit kerana Perdana Menteri merupakan orang Melayu dan perjuangan Perkasa adalah untuk membela dan memartabatkan masyarakat Melayu dan bumiputera.

"Nasihat saya kepada Gerakan, cermin diri dahulu, kalau Gerakan sudah tidak ada upaya lagi, lebih baik bubarkan sahaja parti dan bergabung dengan MCA sebab Gerakan dahulu pun serpihan MCA.

"Tetapi kalau Gerakan hendak terus jadikan Perkasa sebagai 'punching bag', Perkasa tidak akan segan silu meminta ahli-ahli Perkasa yang ada di seluruh negara untuk tidak menyokong calon-calon Gerakan yang bertanding dalam pilihan raya," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment