Inspektor Farid tidak sabar kembali bertugas
Oleh ROSMIZAN RESDI
KOTA BHARU, AHAD, 27 Oktober, 2013: Peristiwa hitam yang menimpa Inspektor Farid Hasni Mamat, 33, ketika bertugas mengawal lalu lintas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut 24 Julai lalu, tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkhidmat sebagai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Meskipun kehilangan kaki sebelah kanannya, Farid Hasni yang bertugas di unit trafik ketika kejadian itu berjanji akan terus bekerja dengan penuh dedikasi selagi khidmatnya diperlukan.
Menu AHAD,rut Farid Hasni, dia tidak sabar untuk menghabiskan rawatan fisioterapi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini dan kembali bertugas.
"Walaupun kecacatan kekal yang dialami ini telah memberi kesan kepada saya dan keluarga, namun saya tetap bersemangat untuk terus berkhidmat.
"Setelah selesai menjalani rawatan, saya akan dipindahkan ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Pasir Puteh dan ditugaskan di jabatan pengurusan," katanya kepada pemberita selepas majlis pertemuan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman di Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, Tengku Zaihan turut menyampaikan sumbangan serta penghargaan bagi mengenang jasa beliau dalam melaksanakan tugas.
Yang turut hadir ialah Pengawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Supritendan Dahlan Mohd. Nor dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Polis (Perkep) Batalion 8 PGA, Sri Suwati Abdullah.
Dalam insiden tersebut, Farid Hasni yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Melaka dipinjam untuk bertugas di PRK Kuala Besut bersama dengan seorang rakan setugas, sedang meronda di pusat-pusat mengundi sebelum dirempuh sebuah kereta dari arah bertentangan dalam kejadian di Kampung Alor Peroi, Besut kira-kira pukul 4.40 petang. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment