My Add

Tuesday, 1 October 2013

Jualan kraf tangan cecah RM341.9 juta

Oleh RAJMAH HASAN

 *MOHAMED Nazri Abdul Aziz (tiga dari kiri) tertarik melihat hasil kraf tangan yang ditunjukkan Sohaimi Shahadan (dua dari kiri) ketika mengunjungi gerai pameran selepas merasmikan Promosi Hiasan Dalaman dan Seni Taman 2013 di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 September, 2013: Industri kraf tempatan berjaya merekodkan jualan RM341.9 juta pada tahun lepas berbanding RM143.5 juta pada 2011 iaitu peningkatan sebanyak 138 peratus walaupun hanya 6,783 pengusaha industri itu yang aktif di negara ini.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, statistik itu membuktikan betapa industri kraf mempunyai potensi untuk berkembang dan mampu memberi pulangan lumayan setelah lebih 366 aktiviti pemasaran dan promosi di peringkat domestik dan antarabangsa dilaksanakan Kraftangan Malaysia.

"Hasil usaha ini telah berjaya meningkatkan nilai jualan kraf tempatan daripada RM143.5 juta pada tahun 2011 kepada RM341.9 juta pada tahun 2012 manakala nilai jualan kraf yang direkodkan pada tahun ini sehingga Ogos lalu adalah sebanyak RM293.5 juta," katanya selepas menyempurnakan majlis perasmian Promosi Hiasan Dalaman dan Seni Taman 2013 di Kompleks Kraf di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Abdul Ghaffar Ab Thambi; Pengerusi Kraftangan Malaysia, Datuk Sohaimi Shahadan dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Mohd. Kamil Mohd. Ali.

Mohamed Nazri berkata, industri kraf tempatan khususnya produk hiasan dalaman dan seni taman dilihat berpotensi untuk dijadikan titik tolak kepada hasrat kerajaan untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terkenal di rantau Asia.

"Kita sasarkan Tahun Melawat Malaysia 2014 menerima jumlah kunjungan pelancong asing seramai 28 juta orang dan daripada jumlah itu kita yakin industri kraf dapat menyumbang sebahagian daripada RM65 bilion nilai sasaran pendapatan negara yang disumbangkan dari aktiviti pelancongan.

"Sebagai peneraju industri kraf negara, Kraftangan Malaysia perlu bergandingan dengan agensi kerajaan dan swasta untuk memantapkan sektor pelancongan termasuk usahawan produk kraf yang menjadi sebahagian daya penarik pelancong ke negara ini," katanya.

Bagi memastikan produk kraf sentiasa relevan di pasaran katanya, penggunaan dan eksploitasi sumber semula jadi perlu dilakukan sepenuhnya khususnya sumber daripada hasil tanah dan rimba yang sering dijadikan sebagai produk bagi hiasan dalaman dan seni taman.

Bagi meluaskan pengaruh penggunaan produk kraf dalam seni bangunan pula katanya, rundingan bersama arkitek tempatan serta jurutera binaan perlu dilaksanakan selain pendekatan lebih kreatif juga boleh diambil untuk berbincang dengan pereka hiasan dalaman bagi menggalakkan penggunaan produk kraf sebagai pelengkap.

Sementara itu Sohaimi berkata, Promosi Hiasan Dalaman dan Seni Taman 2013 yang berlangsung selama 10 hari bermula 27 September hingga 6 Oktober ini melibatkan seramai 200 usahawan dalam pelbagai bidang kraf seperti tekstil, hasil rimba, hasil tanah, hasil logam dan aneka kraf  - UTUSAN

No comments:

Post a Comment