My Add

Wednesday, 2 October 2013

Kemenangan dibatal jika langgar etika parti

KUALA LUMPUR, SELASA, 01 Oktober, 2013: Calon yang layak bertanding dalam pemilihan Muktamar Tahunan Pas ke-59 dibenarkan berkempen secara bersendirian atau berkumpulan bagi merebut jawatan di peringkat Pusat atau sayap parti.

Walau bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas, Asmuni Awi berkata, kebenaran itu hanya diberikan selagi mereka mematuhi enam peraturan etika dan garis panduan ditetapkan parti yang dikeluarkan buat pertama kalinya hari ini.

Menurutnya, enam peraturan itu secara amnya menekankan berhubung larangan bagi calon menyerang serta memburuk-burukkan pesaing jawatan yang ditandingi dan sekiranya terbukti bersalah mereka boleh diambil tindakan termasuk dibatalkan kemenangannya.

"Kelainan muktamar kali ini kita benarkan semua calon untuk mempromosikan diri sama ada secara bersendirian ataupun berpasukan.

"Namun, kempen tertakluk kepada sekatan dan larangan seperti bahagian enam peraturan pemilihan," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Agung Pas, di sini hari ini.

Pas sebelum ini tidak pernah mengeluarkan sebarang garis panduan dan etika berkempen kepada calon yang bertanding.

Dalam pada itu, Asmuni menambah, borang pencalonan di semua peringkat telah diedarkan pada 18 September lalu dan bagi pencalonan bagi Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Dewan Pemuda dan Muslimat Pas, tarikh akhir menyerahkan borang adalah 20 Oktober ini sebelum pukul 12 tengah malam.

Pencalonan bagi Dewan Ulamak Pas pula, ujarnya, perlu diserahkan pada 31 Oktober sebelum pukul 12 tengah malam.

"Semua borang pencalonan perlu diserahkan sama ada secara pos atau hantar sendiri ke Pejabat Agung Pas dan boleh diserahkan oleh calon sendiri atau wakilnya. Kalau lambat hantar, kita akan tolak," katanya.

Pemilihan AJK Pas Pusat akan berlangsung pada 22 November ini di Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor dan keputusannya akan diumum keesokanya.

Pemilihan sayap-sayap pula akan berlangsung pada 21 November ini pada sebelah pagi dengan keputusan akan diumumkan pada sebelah malam. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment