PRK Sungai Limau: 56 permit ceramah dikeluarkan
YAN, AHAD, 27 Oktober, 2013: Sebanyak 56 permit ceramah dikeluarkan kepada kedua-dua parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau sejak penamaan calon Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Supritendan Ismail Abu berkata, pihaknya menerima sebanyak 58 permohonan daripada Barisan Nasional (BN) dan PAS untuk tujuan ceramah, di mana 56 permit telah diluluskan manakala dua permohonan ditolak.
"Dua permohonan yang ditolak adalah kerana tempat yang dimohon untuk membuat ceramah tidak sesuai dan ia berdekatan dengan tempat parti politik yang lain bagi mengelakkan pertembungan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ismail berkata, sebanyak 22 ceramah akan berjalan hari ini, di mana 16 adalah daripada PAS manakala enam ceramah adalah anjuran BN.
Katanya kempen kedua-dua parti politik berjalan lancar sejak penamaan calon pada 23 Okt lepas tanpa sebarang insiden yang menjejaskan kelicinan proses PRK itu.
Ismail berkata, sebanyak tiga pondok polis dan tiga balai bergerak telah dilancarkan di sekitar pekan Sungai Limau bagi memantau pergerakan kedua-dua penyokong parti politik untuk memastikan ketenteraman penduduk setempat.
Berhubung kes penggunaan pembesar suara semasa penamaan calon oleh penyokong parti politik, Ismail berkata, kes itu masih dalam siasatan dan pihaknya telah mengambil keterangan saksi.
Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Limau pada 4 Nov ini menemukan calon BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim dengan Mohd Azam Abd Samat daripada Pas. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment