*MUSTAPA Mohamed, Kelab Penyokong Barisan Nasional dan pembangkang mengadakan sidang akhbar selepas pertemuan bersama Kaukus Parlimen Mengenai TPPA di Kuala Lumpur, semalam. |
Bagaimanapun, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed berkata, setakat ini, rundingan berhubung TPPA belum memerlukan kerajaan untuk berbuat demikian.
"Kita belum sampai ke tahap itu lagi kerana TPPA ini masih di dalam perbincangan. Apabila kita sampai ke satu tahap, sudah pasti kita kena bincang dan dedahkan kepada rakyat, cuma itu kita belum tentukan di peringkat pendekatan terus atau melalui Parlimen," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri pertemuan bersama Kaukus Parlimen Mengenai TPPA yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Jasin, Datuk Ahmad Hamzah di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah 11 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang yang diwakili Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar serta Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Shahrir Samad.
Mustapa berkata, cadangan bagi mendapatkan persetujuan penuh Parlimen itu akan dimaklumkan kepada Kabinet dan akan dibincangkan melalui kaukus itu.
Berhubung pertemuan itu, Mustapa berkata, kerajaan mempunyai matlamat untuk meletakkan kepentingan negara terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa persetujuan berkaitan TPPA.
"Oleh sebab itu, kita terus mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak termasuk Kaukus Parlimen Mengenai TPPA. Kita yakin semua pihak termasuk penyokong kerajaan, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mempunyai pandangan sama dengan kita.
"Sekiranya nanti kita terlibat dengan menandatangani perjanjian itu kita mahu pastikan kerajaan mendapat terma-terma terbaik. Itu adalah pendirian kita bersama. Maka perjumpaan dengan kaukus ini telah memberi input yang banyak kepada kerajaan," katanya.
Sementara itu, Ahmad berkata, walaupun butiran rundingan tidak dapat didedahkan kepada umum, Kaukus Parlimen itu mendapati kerajaan telah menunjukkan usaha dan dedikasi bagi memastikan kepentingan negara diutamakan dalam perbincangan TPPA.
Katanya, penerangan oleh pihak kerajaan telah menjelaskan bahawa kerajaan sendiri tidak akan membuat keputusan terburu-buru demi kepentingan semua pihak terutama rakyat.
"Kami mahu kerajaan meneruskan rundingan supaya hasilnya nanti akan sama-sama memberi faedah kepada semua. Walau apapun tuduhan dan dakwaan, kerajaan perlu melaksanakan tugas dengan baik," katanya.
Pandangan Ahmad itu turut disokong Nurul Izzah yang memaklumkan bahawa hasil pertemuan Kaukus Parlimen dengan kerajaan telah membuka mata pihak pakatan pembangkang berhubung usaha kerajaan mengadakan rundingan TPPA itu.
"Kaukus ini akan terus beri sokongan sehingga ada ratifikasi TPPA yang memuaskan hati semua pihak. Pihak pakatan pembangkang sambut baik usaha rundingan dan mahu ia diteruskan dengan mengambil kira pandangan semua pihak," katanya.
Beliau berkata, memang wujud banyak perkara yang menjadi kegusaran rakyat berhubung TPPA itu dan kerajaan wajar bertindak bagi memastikan semua pihak mendapat maklumat tepat dan lengkap mengenainya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment