My Add

Tuesday, 1 October 2013

Tun Dr. M minta MAHB kurangkan caj pesawat di Langkawi

LANGKAWI, SELASA, 01 Oktober, 2013: Bekas Perdana, Tun Dr. Mahathir Mohamad meminta Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) supaya mengkaji semula bayaran pendaratan yang dikenakan kepada syarikat penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi bagi menarik banyak penerbangan terus ke Langkawi.

Katanya, dengan mengurangkan bayaran pendaratan, beliau yakin lebih banyak penerbangan terus ke Langkawi dari negara-negara lain dapat dilakukan, sekaligus meningkatkan lagi kehadiran pelancong ke pulau peranginan ini.

"Saya dapati MAHB tidak memandang jauh. Mereka ingin mengenakan bayaran tinggi bagi pesawat yang menggunakan lapangan terbang Langkawi.

"Kalau kenakan bayaran tinggi maka tak banyak penerbangan datang ke Langkawi. Kalau tak banyak penebangan MAHB pun tak dapat banyak duit juga," katanya kepada pemberita selepas melancarkan hotel terbaru syarikat MK Land Holdings Berhad, Ombak Villa di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang ketiadaan penerbangan terus dari negara luar ke Langkawi yang menyebabkan pulau itu ketinggalan dari segi kehadiran pelancong asing berbanding Pulau Bali di Indonesia dan pulau-pulau di Thailand walaupun ramai pelancong asing mengakui Langkawi adalah pulau pelancongan yang lebih menarik.

Ketika ini penerbangan terus dari negara hanyalah penerbangan Singapura-Langkawi.

D.r Mahathir berkata, jika dikurangkan sedikit bayaran pendaratan berbanding Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur, beliau yakin banyak penerbangan terus akan datang ke Langkawi.

"Bukan sahaja Langkawi akan maju, bukan sahaja pelancong lebih ramai, MAHB sendiri dapat kutip jumlah lebih besar daripada lebih banyak pendaratan di sini berbanding mengenakan harga yang cukup tinggi tetapi tiada yang datang (syarikat penerbangan).

"Seperti orang berniaga, kalau nak dapat margin yang tinggi, jual barang mahal, jual satu dua dah dapat untung. Tetapi jika turunkan harga, harga murah akan dapat jual lebih banyak dan keuntungan lebih banyak. Falsafah ini tak difahami MAHB," katanya.

Ditanya mengenai tindakan peniaga di pulau peranginan ini yang suka menaikkan harga barangan sesuka hati berikutan peningkatan jumlah pelancong, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak berpuas hati dengan tindakan seperti yang bagi beliau tidak patut dilakukan di pulau bebas cukai.

"Kerajaan tidak kenakan cukai di sini untuk tarik pelancong. Lebih ramai pelancong, peniaga dapat pendapatan lebih. Tetapi seperti biasa mereka nak cepat kaya. Mereka kenakan bayaran tinggi dan khidmat kurang baik. Merekalah yang rugi akhirnya.

"Kalau mereka beri khidmat yang baik dan beramah mesra dengan pelancong seperti di Thailand yang sentiasa tersenyum, orang suka datang dan kita dapat untung banyak," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr. Mahathir berharap usaha-usaha berterusan dilakukan untuk menarik lebih ramai pelancong dari Timur Tengah ke negara ini terutama ke Langkawi.

"Penduduk Timur Tengah, mereka suka datang ke kawasan-kawasan Tropika, hutan hujan seperti Malaysia kerana berbeza dengan negara mereka. Di negara mereka lihat padang pasir saja dan cuaca panas, kering. Di sini cuaca berbeza.

"Mereka pula dah jemu pergi ke Eropah dan Amerika. Dulu tak nampak seorang pun pelancong dari negara Arab. Tapi sekarang mereka antara pelancong yang ramai. Mereka berminat dengan Langkawi," katanya.

Ombak Villa, resort atas air yang dibina dengan kos keseluruhan kira-kira RM48 juta, mengetengahkan gabungan konsep moden kontemporari dan reka bentuk tradisional Melayu yang dilengkapi ciri-ciri hotel mewah.

Hadir sama pada majlis itu adalah isteri Dr. Mahathir, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan Kedah, Mohd. Rawi Abd. Hamid; Pengerusi MK Land Holdings Berhad, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar; dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi Tan Sri Khalid Ramli. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment