My Add

Monday, 28 October 2013

Wanita, generasi muda harap tambah peluang pekerjaan penduduk

JERAI, AHAD, 27 Oktober, 2013: Peluang pekerjaan menjadi harapan golongan wanita dan generasi muda di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau bagi mengelak lebih ramai anak tempatan berhijrah ke bandar besar.

Anak jati Sungai Limau, Khairul Fais Ahmad, 30, berkata, ramai golongan muda di kawasan tersebut terpaksa menganggur disebabkan kurangnya peluang pekerjaan disediakan untuk mereka.

Katanya, peluang pekerjaan bukan sahaja untuk menjana pendapatan mereka, malah menarik minat golongan muda menjadi pengundi baru.

"Golongan muda di sini gemar berlumba, jadi pada saya elok diwujudkan satu litar lumba dan dari situ secara tidak langsung ia membuka peluang pekerjaan.

"Perubahan ini amat diharapkan oleh kami generasi muda di sini supaya ekonomi orang muda terutama anak Melayu boleh ditingkatkan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Bagi pembantu kedai runcit, Marliana Che Omar, 23, berkata, peluang pekerjaan yang terhad di DUN Sungai Limau menyebabkan ramai dalam kalangan generasi muda berhijrah ke daerah lain.

Menurutnya, pembangunan yang kurang menjadi salah satu faktor kurangnya peluang pekerjaan.

"Ramai juga yang pergi ke Gurun dan Sungai Petani untuk bekerja, di sini harap kerja di kedai-kedai sahajalah," katanya.

Pekerja swasta, Khairuddin Rani, 35, berkata, dia berharap pembangunan dilaksanakan terlebih dahulu kerana ia akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Khairuddin memberitahu, selain itu wujudkan juga peluang perniagaan dan menambah produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) kerana ia mampu menjana pendapatan.

Dalam pada itu golongan wanita tidak terlepas daripada mengharapkan peluang pekerjaan kepada mereka untuk membantu menambah pendapatan keluarga.

Seorang lagi penduduk Napisah Hashim, 46, berkata, pelbagai produk IKS dihasilkan oleh golongan wanita terutama kuih tradisional seperti bunga budak, karas dan putu kacang.

Namun katanya, kebanyakan produk yang dihasilkan dijual di luar kawasan Sungai Limau disebabkan tiadanya pusat jualan setempat.

"Kalau ada pusat jualan di sini pengusaha dapat jual secara terus kepada pelanggan dan ini memudahkan lagi mereka memperoleh pendapatan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment