My Add

Wednesday, 2 October 2013

100 balai bomba baharu diperlukan di seluruh negara

KANGAR, RABU, 02 Oktober, 2013: Sebanyak 100 balai bomba baharu diperlukan di seluruh negara menjelang lima hingga 10 tahun akan datang, kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim.

Menurutnya, pertambahan balai bomba baharu itu akan turut meningkatkan pengambilan pegawai dan anggota baharu bagi menangani kes terutama kebakaran.

Bercakap kepada para pemberita selepas majlis penyampaian pingat JBPM peringkat negeri Perlis di sini hari ini, beliau berkata pada masa ini JBPM menggunakan seluruh kekuatannya bagi menangani bencana kebakaran dan tugas-tugas kemanusiaan.

Beliau mengakui jumlah anggota bomba yang bertugas di lebih 260 balai bomba di seluruh negara adalah terhad sedangkan pembangunan negara yang pesat memerlukan JBPM meningkatkan kekuatannya.

Sebagai langkah meningkatkan kekuatan JBPM, Wan Mohd. Nor berkata, lebih banyak balai bomba perlu dibina di lokasi strategik.

Selain memberi perkhidmatan kepada negara, JBPM yang turut menjalin hubungan rapat dengan negara jiran juga bersedia membantu memadamkan kebakaran di negara tetangga termasuk kebakaran di Indonesia yang menyebabkan jerebu dan kabakaran di kawasan berhampiran sempadan di Thailand, katanya.

Mengenai bantuan yang dihulurkan kepada pihak Thailand dalam kes-kes kebakaran di lokasi berhampiran sempadan, Wan Mohd Nor berkata, JBPM sedia membantu kerana hubungan telah lama wujud meskipun tanpa sebarang memorandum persefahaman (MoU) ditanda tangani.

Di majlis itu, sebanyak enam anggota menerima Pingat Setia Bomba (PSB) dan 11 lagi menerima Pingat Cemerlang Bomba (PCB) yang disampaikan Wan Mohd. Nor kerana perkhidmatan cemerlang mereka. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment