My Add

Monday, 28 October 2013

Abdul Azeez bantu ibu tunggal ditahan di penjara Riau

*ABDUL Azeez Abdul Rahim mencatatkan maklumat yang diberikan oleh Azleen Abu Bakar sambil diperhati Arfiq (kiri), Arlisa, Nor Afiqah dan Arkmal berhubung kes ibu mereka ditahan dalam penjara di Indonesia ketika berkunjung ke rumah keluarga tersebut di Taman Serai Wangi, Padang Serai, Kedah semalam.
PADANG SERAI, AHAD, 27 Oktober, 2013: Nasib seorang ibu tunggal, Norihan Abd. Ghani, 56, yang ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana disyaki terlibat dengan kes pemerdagangan orang sejak April lalu mendapat perhatian Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Menurut Abdul Azeez, beliau bersimpati dengan nasib wanita tersebut dan berjanji akan berusaha membawa Norihan pulang ke negara ini.

"Saya telah mendapat laporan penuh daripada anak-anaknya dan akan berusaha supaya Norihan dapat dibebaskan dari sebuah penjara di kawasan Kepulauan Karimun, Riau, Indonesia sedikit masa lagi," katanya kepada pemberita ketika berkunjung ke rumah Norihan di Taman Serai Wangi, di sini hari ini.

Menurut Abdul Azeez, beliau setakat ini difahamkan Norihan tidak terlibat dalam kejadian pemerdagangan manusia seperti didakwa.

Ketika kejadian, katanya, seorang wanita Indonesia dari kawasan perkampungan dikatakan dengan sukarela mahu mengikut Norihan ke Malaysia untuk bekerja dan wanita itu kemudian membeli tiket feri bersamanya dari Tanjung Balai, Indonesia ke Kukup, Pontian.

"Walau bagaimanapun, semasa mahu menaiki feri menuju ke Kukup, wanita Indonesia itu dikatakan menjerit dan mendakwa Norihan cuba membawanya ke Malaysia.

"Kakitangan Imigresen Indonesia di situ kemudian menahan Norihan pada 18 April lalu kerana disyaki memperdagangkan manusia," katanya.

Menurut Abdul Azeez, anak-anak Norihan sudah melakukan pelbagai usaha membawanya pulang tetapi tidak menampakkan sebarang hasil dan KP1M akan berusaha membantu keluarga itu.

Katanya, sehingga kini, KP1M sudah berjaya menyelesaikan sebanyak 89 kes melibatkan rakyat Malaysia di luar negara yang dibuat secara rundingan.

Sementara itu, anak Norihan, Azleen Abu Bakar, 39, memberitahu, berikutan kejadian tersebut, dia dan adik-adiknya, Arlisa, 34, Arkmal, 30, Arfiq, 28, dan Nor Afiqah, 14, sentiasa berada dalam keadaan sedih dan muram.

"Siapa tidak sedih apabila ibu tidak ada di sisi kami, jika tahun sebelumnya kami dapat beraya dengannya tetapi tahun ini, emak berada di penjara di Karimun, Indonesia," katanya.

Sementara itu, kata Azleen, keluarganya mengucapkan terima kasih kepada Abdul Azeez atas perhatian terhadap masalah mereka selain hasrat membantu membebaskan ibunya.

Katanya, turut sama ditahan pihak berkuasa pada hari sama ialah seorang rakan ibunya, Kassim Fadzil, 57, dari Pengerang, Johor. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment