My Add

Monday, 28 October 2013

BN kekal lima prinsip - Najib

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED, 
KASTHURI JEEVENDRAN dan SHEILA RANI CHANDRASEKARAN

 *NAJIB Tun Razak ketika majlis perasmian Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan Ke-42 di Wisma PGRM, Cheras di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama, Chang Ko Youn (lima dari kiri) dan Koh Tsu Koon (empat dari kanan). - BERNAMA
KUALA LUMPUR, AHAD, 26 Oktober, 2013: Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan kekal dengan lima prinsip perjuangan iaitu kesederhanaan, progresif, seimbang, inklusif dan adil bagi memastikan parti itu kekal relevan serta terus mendapat sokongan rakyat.

Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan penegasan menolak politik perkauman, ekstremisme, 'permainan' sentimen keagamaan serta anasir-anasir negatif lain yang mampu merosakkan apa yang telah dibina oleh pengasas-pengasas negara dan parti selama ini.

Walau bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi BN berkata, dalam mentadbir negara berbilang kaum ini, masih terdapat ruang yang perlu diperbaiki oleh kerajaan BN, khususnya parti supaya mampu mengadaptasi landskap politik semasa.

"Sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi BN, kita akan kekalkan prinsip-prinsip itu. Ya, kita boleh perbaiki lagi, saya adalah seorang yang sentiasa terbuka dan menyedari bahawa masih ada ruang untuk kita memperbaikinya.

"Masih ada ruang untuk dilakukan penambahbaikan. Oleh itu, sebagai sebuah parti, kita mesti sentiasa melakukan muhasabah," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan Ke-42 di Dewan Wawasan Tun Dr. Lim Keng Yaik di sini hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Pemangku Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn; bekas Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon serta kepimpinan parti komponen BN.

Najib berkata, selain bermuhasabah, BN juga perlu mencari dan membina kembali kekuatan dalam 'menewaskan' kelemahan.

"Selepas itu, barulah kita menjadi parti yang berani berubah dan mengadaptasi kepada landskap politik yang berubah serta melakukan pembaharuan yang perlu dilakukan.

"Ini supaya BN dan parti komponen dilihat parti yang dinamik, segar serta sentiasa relevan dan boleh mencerminkan suara hati generasi baharu," tegasnya.

Selain menasihatkan Gerakan supaya mengisi transformasi dengan memberikan makna kepada gerakan pembaharuan itu, beliau turut menggesa parti komponen BN lain supaya bijak menguruskan urusan komunikasi, khususnya komunikasi bersama rakyat.

Hal demikian kerana, jelasnya, perkara itu berjaya dilakukan pembangkang sehingga mampu memesongkan fikiran rakyat dengan memberikan maklumat tidak tepat terhadap kerajaan BN.

"Mereka (pembangkang) ini pakar pusing cerita, dan mereka lakukan ini sepanjang masa. Maknanya ini masalah komunikasi. Tetapi kalau kita lihat rekod BN, saya percaya pembangkang tidak mampu bersaing dengan usaha kita selama ini.

"Saya yakin ini sebab di sebelah sana (pembangkang) hanyalah bersifat populis, boleh janji macam-macam asalkan dapat undi. Di samping itu, jangan kita benarkan kekalahan menjadi satu yang melemahkan parti. Kita kena percaya kepada diri sendiri bahawa BN adalah pilihan terbaik untuk rakyat dan negara," katanya.

Sementara itu, beliau menyatakan komitmen kerajaan untuk memperbetulkan segala kepincangan pentadbiran termasuk apa yang dilaporkan menerusi Laporan Ketua Audit Negara lalu.

Kepada Gerakan yang mengalami kekalahan teruk dalam dua pilihan raya umum, ini nasihat beliau : "Gerakan kena kerja lebih kuat dan kukuhkan parti, selain menambah ahlinya. Kuatkan kepimpinan di setiap peringkat dan saya berharap Gerakan akan menjadi parti harapan baharu rakyat." - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment