BN kemuka calon seimbang dunia akhirat
KUALA LUMPUR, SELASA, 01 Oktober, 2013: Barisan Nasional (BN) dijangka mengemukakan senarai nama yang boleh diterima dan disenangi selain perwatakan seimbang antara dunia dan akhirat bagi calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, terdapat beberapa calon anak tempatan yang telah dikenal pasti namun keputusan akhir terserah kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir.
"Calon-calon yang dipilih mestilah memiliki kriteria tersebut dan berharap memiliki komitmen yang tinggi terhadap perjuangan parti kerana Pas pun dijangka meletakkan calon yang bukan calang-calang," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bantuan Am Pelajaran kepada Pelajar Institut Baitulmal dan Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi, di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai PRK DUN Sungai Limau selepas kerusi itu kosong ekoran kematian penyandangnya, Tan Sri Azizan Abdul Razak di Hospital Sultanah Bahiyah pada 26 September lalu akibat jangkitan kuman dan kegagalan organ dalaman yang pelbagai selepas lebih empat bulan mengalami masalah kesihatan yang serius.
Bekas Menteri Besar Kedah itu memenangi DUN Sungai Limau dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan majoriti 2,774 undi.
Jamil Khir yang juga Ahli Parlimen Jerai berkata, beliau mengakui pucuk pimpinan menerima beberapa cadangan mengenai ciri-ciri calon untuk dipertimbang seperti anak tempatan dan berlatar belakang agama.
Dalam masa sama, kata beliau, pucuk pimpinan juga tidak menolak kemungkinan mempertimbang calon yang pernah bertanding dalam pilihan raya umum sebelum ini.
Tambahnya, BN mempunyai ramai calon yang layak diketengahkan dan pihaknya akan menyenarai pendek tiga nama serta latar belakang mereka untuk diserahkan kepada pucuk kepemimpinan parti. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment