Pakatan pembangkang puji kepemimpinan Idris
MELAKA, SELASA, 01 Oktober, 2013: Pakatan pembangkang kagum dan memuji kematangan yang ditonjolkan Ketua Menteri, Datuk Idris Haron dalam menerajui kepemimpinan kerajaan negeri.
Ketua pembangkang, Goh Leong San berkata, kepemimpinan Idris dilihat lebih matang berbanding sewaktu beliau memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi sebelum ini.
"Saya harap kematangan Idris serta barisan kerajaan negeri yang boleh menerima pandangan pihak pembangkang serta seluruh ahli dewan akan berlanjutan pada masa-masa akan datang," katanya.
Leong San (DAP-Duyong) berkata demikian ketika membahas pembentangan usul terima kasih oleh Idris (BN-Sungai Udang) dalam Persidangan Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-13 di Seri Negeri hari ini.
Menurut Leong San, beliau juga tertarik dengan definisi yang diucapkan Idris bahawa keadilan itu bukan sama rata, sebaliknya bermaksud tepat pada masa dan tempatnya serta saksama.
"'Melalui definisi kesaksamaan itu, kerajaan dan pembangkang diharap dapat merapatkan hubungan dan persefahaman demi kepentingan rakyat dan juga negara secara bersama.
"Sebagai satu perubahan, saya meminta pihak kerajaan yang telah memberi pandangan sebagai sama rata, tepat pada tempat dan masanya sama-sama bangkit bagi memajukan negeri ini," ujarnya.
Tambahnya, sebagai wakil rakyat yang dipilih di kawasan masing-masing secara telus dan adil, kita (pembangkang) tidak mahu diketepikan daripada menerima kemudahan asas bagi memberi khidmat kepada rakyat.
"Diharap agar kerajaan negeri dapat menyahut cabaran seperti dilakukan kerajaan Pulau Pinang dan Selangor yang menyediakan peruntukan kepada pembangkang di kedua-dua negeri berkenaan yang diwakili wakil rakyat daripada BN," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment