My Add

Tuesday, 1 October 2013

Bumiputera hanya minta satu pertiga

Oleh AZMAN IBRAHIM dan NURHANANI AZMAN

 *AHMAD Husni Hanadzlah (tengah) diiringi Azman Mokhtar (kanan) ketika tiba untuk menghadiri majlis perasmian Forum Khazanah Trend Mega 2013 di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 September, 2013: Kaum bumiputera tidak pernah meminta pengagihan ekonomi dan kekayaan saksama antara kaum atau pun sama rata (50:50), tetapi hanya satu pertiga daripadanya.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, apa yang diminta ialah satu pertiga kekayaan ekonomi daripada dua pertiga masyarakat di negara ini.

Katanya, golongan bumiputera sejak sekian lama telah menerima pakai definisi satu pertiga itu sebagai satu pengagihan yang sudah adil.

"Sejak sekian lama bumiputera menerima definisi satu pertiga daripada dua pertiga masyarakat di negara ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada majlis perasmian Forum Khazanah Trend Mega 2013 di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah), Tan Sri Azman Mokhtar.

Program selama dua hari bermula hari ini merupakan anjuran tahunan Khazanah.

Tambah Ahmad Husni, negara tidak akan mencapai kestabilan dan keamanan dalam jangka masa panjang sehingga bumiputera mendapat jaminan ekonomi yang sewajarnya.

Katanya, jaminan ekonomi itu hanya wujud apabila tiada lagi ketidakseimbangan pengagihan kekayaan dalam negara.

"Sekarang, kita mempunyai Program Pemerkasaan Bumiputera atau PPB. Kerajaan telah mewujudkan program tersebut bagi meneruskan program Dasar Ekonomi Baharu (DEB) iaitu mencipta lebih banyak peluang untuk 69 peratus penduduk di negara ini,'' ujarnya.

Jelas Ahmad Husni lagi, Malaysia merupakan negara berbilang bangsa dan kepelbagaian itu telah menyebabkan negara ini diberkati.

Katanya, setiap kaum telah menyumbang dengan baik kepada pembangunan negara sehingga hari ini dan ekonomi Malaysia dihormati oleh negara-negara ASEAN dan di seluruh dunia. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment