My Add

Sunday, 27 October 2013

ECER pemangkin ekonomi Kelantan

KOTA BHARU, AHAD, 27 Oktober, 2013: Kewujudan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) merupakan bukti kesungguhan Kerajaan Pusat memastikan tidak ada rakyat termasuk di Kelantan, tercicir daripada nikmat pembangunan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, tidak ada gunanya Malaysia menjadi sebuah negara maju sekiranya ada negeri yang tertinggal di belakang.

"Saya sebagai anak Kelantan akan memastikan kita juga mampu mencapai kejayaan seperti negeri lain, malah mampu mengatasi negeri lain," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Terbuka ECER Bersama Rakyat di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong di sini semalam.

Sebelum itu, beliau bersama-sama Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menyempurnakan majlis perasmian tersebut.

Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Jebasingam Issace John dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, majlis itu menjadi simbolik untuk menunjukkan kesediaan Kerajaan Pusat dan negeri bekerjasama terutama melibatkan perkara berkaitan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Sementara itu, Ahmad dalam ucapannya menyatakan kesediaan kerajaan Pas negeri untuk terus bekerjasama dengan Kerajaan Pusat demi memastikan rakyat negeri ini berpeluang menikmati kehidupan lebih baik.

Sehubungan itu atanya, kerajaan negeri akan membuka ruang seluas-luasnya kepada Kerajaan Pusat untuk membangunkan projek ECER di negeri ini demi memastikan kehidupan rakyat terus selesa dengan pelbagai kemudahan yang telah disediakan itu.

Katanya, ECER telah memainkan peranan penting dalam memangkin ekonomi di negeri ini sekali gus membantu meningkatkan pendapatan dan menaikkan taraf hidup rakyat Kelantan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment