Banjir: Mangsa keempat diisytiharkan hilang
Oleh ALI MAHMOOD
CAMERON HIHGLANDS, AHAD, 27 Oktober, 2013: Mangsa keempat yang masih belum ditemui dalam kejadian banjir kilat di Kampung Lembah Bertam pada Rabu lepas berikutan pelepasan air dari Empangan Sultan Abu Bakar di sini diisytiharkan hilang.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Supritendan Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, mangsa, Jarwati, 24, dikategorikan hilang setelah operasi serta gerakan mengesan mangsa yang disertai 340 anggota pasukan mencari dan menyelamat dihentikan pada tengah hari tadi.
Tambahnya, walaupun bilik operasi mencari dan menyelamat ditutup, tetapi pasukan mencari dikecilkan bilangannya akan diteruskan sehingga esok.
"Kita telah menjalankan usaha mencari dan menyelamat meliputi kawasan jarak pencarian sejauh 25 kilometer bermula dari tempat kejadian termasuk menggunakan pasukan penyelam, tetapi gagal menemui mangsa.
"Kita tidak menolak kemungkinan mangsa tertimbus dalam tanah atau diselaputi lumpur dan sampah plastik di tempat kejadian," katanya kepada pemberita di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment