My Add

Wednesday, 2 October 2013

Kerajaan tidak akan ganti sistem meritokrasi ke IPTA

KUALA LUMPUR, RABU, 02 Oktober, 2013: Kementerian Pendidikan tidak bercadang untuk menggantikan sistem meritokrasi dengan sistem lain bagi kemasukan pelajar ke institut pengajian tinggi awam (IPTA).

Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan berkata, semua pelajar yang layak dengan markah merit tertinggi tanpa mengira kaum, agama dan taraf hidup tidak akan dinafikan peluang untuk ditawarkan tempat di IPTA.

Katanya dasar meritokrasi telah diterima baik oleh masyarakat sebagai sistem yang telus, dinamik dan adil kerana memberi peluang pendidikan tinggi yang luas kepada calon yang layak.

"Meritokrasi dilaksanakan dengan mengguna pakai 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum untuk menjana markah merit pelajar," katanya semasa menjawab soalan Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Shabudin ingin tahu sama ada kementerian bercadang menggunakan sistem merit mengikut kaum dan kawasan untuk kemasukan pelajar ke IPTA.

Bagaimanapun, Kamalanathan berkata, kerjaan memberi keistimewaan kepada atlet negara dan golongan seperti orang asli dan orang kelainan upaya (OKU) bagi permohonan kemasukan ke IPTA, Politeknik, Kolej Komuniti serta Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA).

"Perlu dijelaskan bahawa laluan khas yang disediakan ini adalah proses pemilihan mengikut kumpulan mereka," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment