My Add

Tuesday, 1 October 2013

Nilai semula kerjasama dengan DAP - Rahmad

PULAU PINANG, ISNIN, 30 September, 2013: Ahli dan pemimpin Melayu DAP diingatkan menilai secara serius kedudukan mereka dalam parti itu demi kelangsungan kaum sendiri pada masa hadapan.

Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP), Rahmad Isahak berkata, perkara itu perlu memandangkan keputusan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP semalam jelas menunjukkan parti tersebut tidak mengalu-alukan orang Melayu.

Menurutnya, ahli dan pemimpin Melayu DAP tidak sewajarnya terlalu rakus mengejar kedudukan dan jawatan sehingga sanggup menjadi 'pak turut' atau boneka biarpun menyedari nasib orang Melayu bukan keutamaan pemimpin parti berkenaan.

"Jangan cuba menegakkan benang basah sampai orang Melayu terpaksa mengemis di tanah air sendiri. Cuba lihat mana perginya tujuh calon Melayu yang bertanding semalam, mengapa tiada seorang pun yang mendapat perhatian daripada perwakilan DAP.

"Mana hilangnya istilah berbilang kaum yang kononnya diperjuangkan selama ini dan jika benar DAP mampu membantu orang Melayu, bagaimana kesemua calon Melayu boleh kalah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, dalam pemilihan semula CEC DAP kesemua 20 anggota jawatankuasa itu yang terpilih dalam pemilihan Disember lalu sebelum dibatalkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) terpilih sekali lagi walaupun berubah dari segi kedudukan.

Rahmad menambah, keputusan CEC baharu itu juga menunjukkan orang Melayu tidak boleh bergantung dan berteduh di bawah payung DAP.

Selain itu, beliau yang merupakan bekas ahli DAP berkata, situasi orang Melayu 'diperbodohkan' DAP ini sepatutnya dijadikan iktibar rakan sekutu DAP iaitu Pas.

"Sudah tiba masanya pemimpin Pas beristikharah demi Islam dan Melayu dengan mengkaji semula kedudukan mereka dalam pakatan pembangkang.

"Sampai bila Pas harus bertahan dan bersabar menyaksikan Islam dan Melayu diperlekeh serta dipersenda," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment