My Add

Wednesday, 2 October 2013

PAC akan panggil tiga kementerian berhubung Laporan Ketua Audit Negara

KUALA LUMPUR, SELASA, 01 Oktober, 2013: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil sekurang-kurangnya tiga kementerian dalam masa terdekat bagi memberi keterangan berhubung Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, keputusan mengenai kementerian mana yang akan dipanggil dahulu akan dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa itu pada 21 Oktober ini.

“Setakat ini PAC telah mengenal pasti tiga atau empat kementerian yang mempunyai isu berkaitan Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang dikeluarkan hari ini.

“Kita akan panggil ikut keutamaan kes dan memberi mereka masa dua minggu untuk bersiap sedia," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa itu di bangunan Parlimen hari ini.

Utusan Malaysia difahamkan antara kementerian yang akan dipanggil itu adalah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berhubung isu insinerator; Kementerian Pengangkutan (Sistem Pendaratan Berpandu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu) dan Kementerian Kewangan (Lembaga Hasil Dalam Negeri).

Sementara itu, mengulas mengenai mesyuarat tersebut yang turut disertai Jabatan Audit Negara, Nur Jazlan berkata, jabatan itu akan memulakan proses pengauditan lebih awal bagi projek yang melebihi kos RM1 bilion dan memantau projek melebihi kos RM500 juta.

“Ini bagi memastikan projek-projek itu dilaksanakan dengan integriti, selain tidak terlepas pandang dengan mana-mana kesalahan yang dilakukan," jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, satu jawatankuasa yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan ditubuhkan bagi menyiasat dan mengambil tindakan terhadap projek kerajaan yang mempunyai isu atau bermasalah. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment