Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (gambar) berkata, penahanan tanpa bicara sebenarnya mempunyai kelebihan dalam aspek tindakan pencegahan terutama terhadap jenayah berat dan terancang.
Sehubungan itu beliau berkata, rakyat seharusnya jelas dan yakin mengenai keperluan peruntukan seumpama itu.
"Walaupun terdapat pihak-pihak tertentu yang mempunyai kepentingan peribadi akan menentang dan mengutuk tindakan kerajaan memperkenalkan semula peruntukan tahanan pencegahan sebagai tidak berperikemanusiaan, namun perkara itu masih diperlukan demi kepentingan dan keselamatan rakyat," katanya ketika membentangkan Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.
Rang undang-undang yang dibacakan buat kali pertama pada 25 September lalu telah memberi kuasa kepada Lembaga Pencegahan Jenayah mengarahkan seseorang yang ditangkap di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Akta 297) ditahan bagi tempoh tidak melebihi dua tahun.
Bukan itu sahaja, rang undang-undang itu turut memberi kuasa kepada lembaga berkenaan melanjutkan tempoh tahanan selama dua tahun lagi sekiranya didapati perlu demi kepentingan ketenteraman dan keselamatan awam atau pencegahan jenayah.
Bagaimanapun, arahan tahanan oleh pihak lembaga terbabit boleh disemak semula di Mahkamah Tinggi.
Kesemua peruntukan tersebut merupakan bahagian baharu (bahagian IVA) yang dimasukkan ke dalam akta itu di bawah Seksyen 19A berhubung Perintah Tahanan.
Dalam perkembangan berkaitan Ahmad Zahid berkata, antara kelebihan penahanan tanpa bicara bagi tujuan mencegah kes jenayah terancang dan jenayah kekerasan ialah berkaitan dengan kesediaan saksi memberi keterangan sekiranya kes seumpama itu dibawa ke mahkamah.
"Jika kes jenayah seumpama itu dibicarakan di mahkamah terdapat keperluan untuk memanggil saksi yang mana ia merupakan satu masalah besar apabila saksi-saksi keberatan untuk tampil memberi keterangan dan jenayah terancang.
"Terdapat banyak kes di mana saksi bagi kes-kes jenayah terancang dan jenayah kekerasan sebelum ini telah dibunuh, diugut dan sebagainya yang menyebabkan mereka takut untuk memberi keterangan," katanya lagi.
Beliau turut menyentuh mengenai keperluan peruntukan penahanan pencegahan untuk mengekang secara efektif tindak tanduk penjenayah yang berada dalam tahanan serta meningkatkan kapasiti pengawasan polis.
"Oleh itu, dengan mandat yang diberikan oleh rakyat pada pilihan raya umum lalu, kerajaan dengan penuh tanggungjawab memastikan rakyat Malaysia terlindung dan terus hidup dengan keadaan aman. Keamanan ini tinggi nilainya berbanding pergolakan di beberapa negara Asia Barat. Ingin saya tegaskan penjenayah adalah buta warna dan tidak mengira siapa pun mangsanya. Kita perlu menerima kenyataan ini sungguhpun ia pahit untuk ditelan," katanya.
Terdahulu Ahmad Zahid pada awal pembentangan berkata, peningkatan kes-kes jenayah berat dan jenayah terancang sejak kebelakangan ini telah meningkatkan kebimbangan rakyat mengenai tahap keselamatan mereka ekoran berlaku jenayah-jenayah seumpama itu.
"Kerajaan peka akan kebimbangan yang dirasai rakyat dan mendengar rintihan mereka supaya kerajaan mengambil tindakan segera bagi membanteras aktiviti-aktiviti jenayah berat dan jenayah terancang. Bagi meredakan kebimbangan terdapat keperluan untuk kerajaan menimbang dan mengkaji semula usaha-usaha menangani jenayah terutama jenayah berat dan terancang termasuk mengkaji undang-undang sedia ada," katanya lagi. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment