50 pelajar MRSM Muar diserang histeria
MUAR, SABTU, 28 September, 2013: Kira-kira 50 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muar di Batu 6, Bakri di sini, diserang histeria sejak Rabu lalu sehingga memaksa pengurusan sekolah membenarkan pelajarnya pulang ke rumah sejak pagi semalam.
Kejadian berlaku bukan sahaja semasa berada di asrama pada waktu malam tetapi juga di dalam kelas di waktu pagi dan tengah hari.
Tinjauan Mingguan Malaysia di sekolah itu hari ini mendapati sebahagian besar ibu bapa telah mengambil anak masing-masing tetapi pihak media tidak dibenarkan memasuki kawasan terbabit.
Difahamkan hanya pelajar Tingkatan 3 dan 5 tinggal di asrama kerana akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bermula Selasa ini dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.
Seorang pelajar lelaki yang enggan dikenali mendakwa, sebelum kejadian ramai rakannya ternampak makhluk halus di sekitar asrama dan kelas menyebabkan mereka takut dan mengalami histeria.
"Ramai yang meracau dan berkelakuan seperti dirasuk. Guru-guru menempatkan mereka di surau dan mendapatkan rawatan tradisional daripada seorang ustaz yang dahulunya pernah bekerja di MRSM ini bagi memulihkan keadaan," katanya.
Dia percaya, kejadian itu mempunyai hubung kait dengan insiden pelajar lelaki membaling batu di sebuah tangki air di sekolah berkenaan baru-baru ini kerana sejak itu mereka diganggu makhluk halus.
Seorang lagi pelajar mendakwa, gangguan makhluk halus berkenaan berterusan selama tiga hari menyebabkan keadaan panik di asrama.
"Bagaimanapun, semalam saya diberitahu seorang bekas imam serta ustaz dari Batu Pahat sudah dipanggil oleh pengurusan sekolah. Mereka menabur garam di sekitar asrama mungkin untuk menghalau makhluk itu dan keadaan sudah semakin pulih sejak malam tadi," katanya.
Sementara itu, seorang bapa yang menjemput anaknya pulang memberitahu, dia hanya mengetahui tentang kejadian tersebut petang semalam apabila anak perempuannya menghubunginya untuk membawanya pulang.
"Saya diberitahu ramai pelajar terkena histeria mungkin akibat gangguan makhluk halus dan semalam pihak sekolah membenarkan ibu bapa mengambil anak mereka," katanya yang bekerja sebagai kerani di bandar ini.
Bagaimanapun, usaha mendapatkan kenyataan daripada pihak pengurusan sekolah termasuk pengetuanya gagal.
Pegawai Pelajaran Muar, Ahmad Othman ketika dihubungi meminta ibu bapa bersabar dan memahami situasi itu kerana berlaku tanpa dijangka.
"Pihak sekolah telah mengambil tindakan sewajarnya dan keadaan di sekolah itu adalah terkawal," ujarnya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment