My Add

Monday, 30 September 2013

Tingkatkan bidang strategik

Oleh Zulkefli Hamzah

* NAJIB Tun Razak bersama Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman (kiri) dan Datuk Seri Jamaludin Jarjis ketika mengadakan sidang akhbar kepada media Malaysia di New York, Amerika Syarikat, semalam. - BERNAMA
NEW YORK, AHAD, 29 September, 2013: Lawatan kerja Datuk Seri Najib Tun Razak ke Amerika Syarikat (AS) telah berjaya menghubungkan Malaysia dengan komuniti berpengaruh global dalam memastikan perjalanan Malaysia menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 berjalan lancar.

Lawatan yang menggabungkan pelbagai kepentingan strategik menurut Perdana Menteri, dirancang agar matlamat transformasi nasional dapat dipadankan dengan perkembangan di peringkat global yang memerlukan kerjasama lebih mendalam dan rapat.

“Lawatan ini membawa begitu banyak tujuan dan maksud," katanya dalam sidang akhbar di sini pada akhir lawatannya ke San Fancisco dan New York dari 22 hingga 28 September yang dianggap sebagai padat dan berfokus dengan menggabungkan enam inisiatif dalam satu lawatan.

Di San Francisco, selain mempengerusikan Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) dan forum Panel Antarabangsa Bioteknologi, Perdana Menteri turut melawat Lembah Silikon dan berinteraksi dengan komuniti usahawan di hab teknologi dan inovasi terhebat di dunia itu.

Di New York pula, Najib menghadiri Mesyuarat Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), mengadakan pertemuan dengan pelabur dan pengurus dana AS selain pertemuan bilateral dengan tokoh politik tempatan dan pemimpin dunia lainnya.

Najib menambah, bagi memastikan Malaysia berjaya dalam perjalanannya menjadi negara maju, bidang-bidang strategik seperti teknologi maklumat, bioteknologi serta inovasi mesti dipertingkatkan melalui hubungan rapat dengan komuniti global.

Komuniti global itu, kata beliau, mengalu-alukan pelan dan agenda transformasi Malaysia yang bersifat terbuka dan global yang membolehkan mereka untuk terlibat sama membuat pelaburan.

“Dalam lawatan ini, saya juga memberi galakan syarikat dari AS untuk menngkatkan pelaburan bukan sahaja kuantiti tetapi aspek kemasukan dan penerapan teknologi baharu yang amat kita perlukan," jelasnya.

Ditanya tentang pengalaman memandu kereta tanpa pemandu Google Car, Najib berkata, kereta masa depan itu beroperasi baik dari segi teknikal tetapi belum boleh dikomersialkan kerana kosnya mahal.

“Sensor mahal, laser sensor sahaja AS$7,000 (RM22,000). Ada tiga sensor iaitu di kamera, radar dan laser yang semuanya disambungkan ke komputer. Kereta ini pun masih diprogram untuk pemanduan di lebuh raya," kata Najib yang turut menguji cermin mata Google dan kereta elektrik Testla yang dijangka dapat dipasarkan di Malaysia tidak lama lagi.

Lawatan di Lembah Silikon dan interaksi dengan para saintis bioteknologi itu, kata Najib, secara langsung telah menghubungkan Malaysia dengan komuniti inovasi global yang memungkinkan negara ini nantinya dipilih sebagai lokasi pelaburan baharu mereka selain mengembangkan ekonomi berasaskan pengetahuan.

Mengulas tentang ucapan beliau dalam mesyuarat umum PBB, Perdana Menteri berkata, ucapan itu bukan sahaja dari sudut kepentingan Malaysia tetapi memberi idea ke arah perdamaian dunia khususnya dalam mengatasi konflik di beberapa negara Islam.

“Beberapa negara Islam sedang menghadapi masalah, sebab itu penting untuk pemimpin negara islam menyatakan pendirian apa yang boleh dilakukan bagi mencari punca untuk membawa penyelesaian kepada konflik dunia Islam sekarang," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment