Ketepi emosi ketika pilih barisan kepimpinan
TAWAU, SABTU, 28 September, 2013: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengingatkan hampir 150,000 anggota UMNO yang bakal memilih barisan kepimpinan parti Oktober depan agar mengenepikan soal emosi ketika mengundi kelak.
Hishammudin, yang mempertahan jawatannya, berkata anggota UMNO perlu memilih barisan kepimpinan parti berdasarkan kewibawaan, pengalaman serta kepimpinan pemimpin yang sudah teruji sejak sekian lama.
"Pemilihan dalam UMNO amat penting. Pemilihan dalam kita menentukan anggota majlis tertinggi, barisan naib presiden mestilah selari dengan kehendak mereka yang dah lalui pahit getir kepimpinan UMNO dan negara.
"Kita boleh menawarkan diri. Kalau perwakilan kita melihat mereka ini wajar dipertahankan dan dikekalkan, kita teruskan perjuangan kita. kalau nak muka baharu, silakan. Tetapi saya percaya anggota UMNO kita adalah bijak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan; Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Harun; Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin yang mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan serta Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco) Datuk Seri Nasir Tun Sakaran.
Di KUALA LUMPUR, seorang lagi penyandang Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata calon yang bakal bertanding pada pemilihan UMNO 2013 bulan depan perlu bijak menggunakan peluang dan keupayaan untuk memperkenalkan diri mereka kepada anggota parti.
Bagaimanapun, beliau berkata calon tidak boleh melanggar tata etika yang ditetapkan dalam perlembagaan parti itu.
"Ini sebenarnya meletakkan keupayaan kita, bagaimana kita boleh menonjolkan diri kita. Asalkan jangan langgar syarat, yang penting bagaimana kita boleh mendekati mereka," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional (BN) 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
Beliau mengulas syarat ketat yang ditetapkan dalam perlembagaan parti pada pemilihan Umno tahun ini termasuk calon dilarang berkempen secara bersendirian, menjadi pelobi atau peraih undi.
Jawatankuasa Pemilihan Parti menetapkan calon ditegah daripada melakukan perbuatan seperti memfitnah, mempromosikan apa-apa manifesto atau berkempen di luar jadual jerayawara yang ditetapkan ibu pejabat parti.
Sebarang pelanggaran tataetika yang ditetapkan boleh diambil tindakan di bawah Fasal 20.9 (a)-(e) Perlembagaan UMNO termasuk dibatalkan pencalonan atau dipecat daripada parti.
Turut hadir Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin, yang juga Menteri Belia dan Sukan, serta Pengerusi Karnival Kerjaya Pemuda BN Nazir Hussin Akhtar Hussin. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment