My Add

Monday, 30 September 2013

Hishammuddin selar pihak sanjung Chin Peng

*HISHAMMUDDIN Tun Hussein (tengah) beramah mesra bersama sebahagian veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) dalam Majlis Penyerahan Kunci Rumah Program Membaikpulih Rumah Veteran 1Malaysia di Dewan Masyarakat Papar, semalam. Turut sama, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman (dua dari kanan).
PAPAR, AHADM 29 September, 2013: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein membidas tindakan sesetengah pihak ang masih berusaha mencari jalan membawa masuk abu mayat Chin Peng ke negara ini.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Khamis lalu yang mengingatkan rakyat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) itu merupakan petualang negara dan cuba menjadikan negara ini sebagai negara komunis harus dipandang serius semua pihak.

Katanya, amanat Sultan Selangor itu harus menyedarkan masyarakat malah menghentikan kenyataan melampau serta sikap keterlaluan pihak tertentu yang menyanjung dan mengiktiraf Chin Peng.

"Bagi saya, pihak yang menjadikan Chin Peng ikon perjuangan menuntut kemerdekaan perlu menyorot sejarah keganasan komunis yang membunuh ramai anggota keselamatan negara dan mengakibatkan ribuan mengalami kecacatan anggota, selain mengorbankan banyak nyawa tidak berdosa.

"Tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu itu mengguris perasaan anggota tentera dan veteran polis serta ahli keluarga mangsa yang terkorban serta majoriti rakyat Malaysia yang memahami dan menghayati sejarah negara," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan kunci Program 1Malaysia Veteran Home Repair (1MVHR) kepada dua penerima dan menyampaikan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 20 veteran Anggota Tentera Malaysia (ATM) yang pernah berkhidmat semasa zaman darurat serta penentangan komunis.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, desakan pihak tertentu supaya abu mayat Chin Peng dibawa pulang ke negara ini selain supaya kerajaan memaafkan kesalahan pengkhianat negara itu sukar diterima.

Menurutnya, kelompok itu juga bertindak keterlaluan menuduh kerajaan bersikap kejam kerana tidak menghormati Perjanjian Hatyai 1989 serta tidak memberi peluang kepada Chin Peng.

"Harus diingat Chin Peng telah diberi peluang memohon kerakyatan Malaysia pada 1989 dan 1990, namun dia menolaknya. Ini bukti Chin Peng memang tidak berminat menjadi rakyat Malaysia," katanya.

Sehubungan itu, tambah beliau, Chin Peng bukanlah warganegara Malaysia dan tidak ada keperluan membawa pulang abu mayatnya ke negara ini.

Tambahnya, tuntutan membawa pulang abu mayat petualang negara itu seolah-olah mahu mengangkat musuh negara sebagai wira sekali gus menafikan perjuangan dan pengorbanan anggota keselamatan negara yang berjuang ketika zaman darurat. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment