My Add

Monday, 30 September 2013

Gagal tarik sokongan pengundi wanita

KUALA LUMPUR, AHAD, 29 September, 2013: DAP mengakui masih gagal menarik sokongan pengundi wanita yang disifatkan sebagai sumber kekuatan utama UMNO.

Menyedari hakikat itu, Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, parti itu termasuk rakan sekutunya dalam pakatan pembangkang perlu berusaha gigih menawan hati golongan tersebut terutama mereka yang di luar bandar.

Jelas beliau, kekurangan sokongan itu berpunca daripada program yang ditonjolkan kepada golongan ibu kurang menyerlah justeru sudah tiba masanya lebih banyak peluang diberikan agar persepsi negatif terhadap pakatan pembangkang dapat diubah.

''Kita tidak nafikan golongan wanita sukar ditembusi, maka, kita harus menempa identiti baharu pakatan pembangkang yang turut mementingkan golongan itu,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Kongres Khas Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, di sini hari ini.

Pemilihan CEC parti itu dilakukan semula berikutan dakwaan terdapat masalah teknikal akibat kesilapan pengiraan undi pada pemilihan sebelum ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Guan Eng berkata, walaupun pakatan pembangkang berjaya menarik golongan muda, parti itu belum berjaya menarik minat golongan wanita.

Katanya, tanpa sokongan golongan itu, pakatan pembangkang tidak boleh terlalu berharap untuk menang melainkan menyediakan program yang sistematik kepada mereka.

''Kita perlu perluaskan peluang kepada wanita, golongan itu paling besar berada di universiti, oleh itu, teramat penting kita berusaha menawan mereka dengan memaparkan dasar-dasar yang dibuat oleh parti,'' katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment