Ramalan The Economist tentang Mukhriz 'ancam' Najib dipersoal
PUTRAJAYA, AHAD, 29 September, 2013: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mempersoal niat majalah antarabangsa, The Economist meramalkan anaknya, Datuk Mukhriz bakal mengancam kedudukan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pemimpin nombor satu parti itu sekiranya menang dalam pertandingan parti tersebut bulan depan.
Menurut beliau, anaknya itu tidak mempunyai sebarang niat buruk terhadap Najib atau kepimpinan UMNO yang lain ketika menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden UMNO.
"Mereka (The Economist) tidak boleh mencari atau memperkatakan apa-apa yang baik mengenai orang lain.
"Itu (usaha menjatuhkan Najib) yang akan mereka lakukan jika berada di kedudukan Mukhriz, tetapi di Malaysia, kita tidak akan ada niat seperti itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu Dr. Mahathir meluangkan masa melawat Hari Terbuka Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) dan membaca buku cerita kepada kanak-kanak dalam program tersebut.
Beliau turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang Sirkit Pancing Putrajaya Siri 3/2013 yang diadakan di tasik YKP.
Majalah antarabangsa itu dalam laporannya kelmarin menyebut kemenangan Mukhriz dijangka menyebabkan masa depan Najib menjadi malap.
Perkara itu berdasarkan pandangan golongan yang menentang Najib akan mendampingi Mukhriz iaitu pemimpin yang dianggap sebagai penyambung kepimpinan Dr. Mahathir.
Selain Mukhriz, jawatan Naib Presiden turut ditandingi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad turut sama bertanding jawatan itu. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment