My Add

Monday, 30 September 2013

Tambah rumah mampu milik

 
KUALA LUMPUR, AHAD, 29 September, 2013: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), akan membina sebanyak 15,909 unit rumah mampu milik di seluruh negara tahun depan bagi memperbanyakkan lagi kaum bumiputera dalam pemilikan aset bukan kewangan.

Pengarah Urusan SPNB, Datuk Dr. Sr. Kamarul Rashdan Salleh (gambar) berkata, daripada pembinaan rumah pelbagai kategori itu, 1,640 unit adalah rumah kos rendah, 3,155 unit kos sederhana rendah manakala baki 11,114 unit adalah rumah kos sederhana.

''Kita akan membuat pelaburan besar dalam projek yang dirancang itu dan memastikan perumahan tersebut mengikut jadual yang ditetapkan," katanya baru-baru ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya agensi pembangunan perumahan kerajaan memperbanyakan pembinaan rumah mampu milik bagi memastikan kaum bumiputera tidak ketinggalan dalam pemilikan aset bukan kewangan.

Najib sebelum ini berkata, langkah itu akan dilaksanakan di bawah fokus ketiga Strategi Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera.

Malah beliau mengumumkan langkah dan strategi baharu bagi memperkasa ekonomi bumiputera, berpayungkan Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB), yang akan ditubuhkan tidak lama lagi dan dipengerusikan oleh beliau sendiri.

MEB akan menggantikan Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) dalam melaksanakan lima strategi utama sebagai kelangsungan implementasi agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera.

Antara strategi itu ialah menangani bumiputera yang masih lagi ketinggalan dalam pemilikan aset bukan kewangan seperti rumah kediaman, premis industri dan kompleks komersial.

Kamarul Rashdan berkata, SPNB juga akan memperkenalkan satu program baharu iaitu pembangunan hartanah bercampur di atas tanah milik kerajaan negeri dan rumah-rumah yang dijual berharga di antara RM70,000 hingga RM220,000 seunit.

Katanya, setakat ini, 11 tapak yang berpotensi telah dikenal pasti dan melibatkan perancangan pembangunan sebanyak 2,607 unit.

Beliau berkata, projek atau produk baru ini akan mengutamakan golongan pembeli rumah pertama, orang kelainan upaya (OKU) dan ibu-ibu tunggal.

''Sebagai permulaan, modal pusingan sebanyak RM250 juta akan diperuntukkan untuk menjayakan program ini," katanya.

Menurutnya, bagi tahun ini pula, SPNB sedang dan akan membina sebanyak 4,652 unit rumah mampu milik di lima lokasi iaitu Apartmen Laguna Biru Fasa 2 Rawang sebanyak 1,224 unit, Taman Sutera Wangi Fasa 2 sebanyak 566 unit, Apartmen Alam Prima Fasa 2 (655 unit), Vista Perdana Fasa 2 dan 3 (1740 unit) termasuk Taman Seri Bayu Fasa 3, Taman Seri Bayu, Tumpat.

Beliau menambah, Apartmen Laguna Biru, Rawang berharga RM120,000 hingga RM220,000 seunit yang dimulakan Jun lalu dan dijangka siap Jun 2015.

Tambahnya, bagi Taman Sutera Wangi, Batu Berendam, Melaka melibatkan 566 unit membabitkan harga antara RM42,000 hingga RM226,934 seunit yang dimulakan bulan lalu dan dijangka siap Ogos 2016.

Kata beliau, Apartmen Alam Prima Shah Alam pula sebanyak 655 unit termasuk sembilan unit kedai berharga antara RM120,000 hingga RM220,000 seunit yang akan dimulakan pada bulan depan dan dijangka siap Oktober 2016.

Di samping itu, Vista Perdana Miri sebanyak 1,740 unit berharga antara RM195,000 hingga RM730,000 seunit bagi rumah kedai dan akan dimulakan Disember ini dan siap dalam tempoh lima tahun.

Sementara Taman Seri Bayu Tumpat sebanyak 467 unit dengan harga RM62,500 seunit akan dimulakan Disember ini dan siap dalam tempoh dua tahun. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment