Rohani |
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, sejak tahun 2007, kerajaan telah menggubal dasar negara dan pelan tindakan secara komprehensif bagi memastikan OKU menikmati hak sama rata dengan masyarakat lain.
Katanya, inisiatif membela golongan itu boleh dilihat apabila kerajaan menggubal dan menguatkuasakan Akta OKU pada tahun 2008.
"Ini menunjukkan kerajaan Malaysia amat komited dalam mempromosi hak-hak OKU di negara ini dan untuk memastikan golongan tersebut sentiasa diberi perhatian dan dibantu, kerajaan Malaysia telah memperkenalkan rancangan pembangunan yang komprehensif sebagai teras dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (2011-2015),'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika Mesyuarat Tertinggi Perhimpunan Agung: Merealisasikan Matlamat Pembangunan dan Persetujuan Antarabangsa Bagi Pembangunan OKU di New York, Amerika Syarikat baru-baru ini.
Pada masa sama, Rohani memberitahu, kerajaan turut memberi penekanan untuk meningkatkan penyertaan golongan OKU dalam tenaga kerja.
Jelas beliau, pada 1988, kerajaan telah memperkenalkan dasar satu peratus peluang pekerjaan dalam sektor awam bagi OKU.
"Pada tahun 2010, dasar ini dikaji semula dan dipertingkatkan termasuk tindakan efektif bagi memastikan pelaksanaan dasar lebih berkesan. Hasilnya boleh dilihat pada Disember 2012, terdapat 1,754 golongan itu bekerja di sektor awam berbanding 1,294 pada tahun 2009.
"Selain itu, Jabatan Buruh di bawah Kementerian Sumber Manusia telah memperkenalkan pendaftaran pekerjaan secara dalam talian dan 'matching system' yang dikenali sebagai Sistem Penempatan OKU bagi sektor swasta," ujarnya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment