Wakil tetap ke PBB: Malaysia dapat sokongan ASEAN
KUALA LUMPUR, SABTU, 28 September, 2013: ASEAN menyokong Malaysia sebagai calon wakil tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Beratu (PBB) bagi penggal 2015-2016.
Dalam kenyataannya, Kementerian Luar berkata, perkara itu adalah antara keputusan penting yang dicapai pada mesyuarat tidak rasmi para Menteri Luar ASEAN yang diadakan di luar Perhimpunan Agung PBB ke-68 di New York pada Khamis.
Malaysia diwakili Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.
Sambil menegaskan bahawa sokongan itu amat penting bagi Malaysia, kementerian berkenaan berkata: "Dengan itu, kini Malaysia menjadi calon rasmi ASEAN untuk jawatan tersebut.
"Ia akan membantu meningkatkan profil kita sebagai calon dan menjadi asas untuk mendapat sokongan lebih meluas daripada negara di rantau Asia."
Kementerian itu berkata ia akan meneruskan usaha untuk memastikan Malaysia memperoleh jumlah undi yang sebanyak mungkin pada pemilihan jawatan itu, yang dijadual berlangsung di New York tahun depan.
"Usaha ini termasuk mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatan kami yang turut berada di New York," kata kementerian itu. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment