My Add

Saturday, 28 September 2013

Perkasa minta Ku Li kemuka pelan induk Pelan Amanah

PUTRAJA, JUMAAT,YA 27 September, 2013: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) meminta Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah memperincikan cadangannya supaya perancangan ekonomi dilindungi semangat Perlembagaan Persekutuan bagi berkongsi kekayaan semua pihak sehingga ke generasi akan datang.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, saranan supaya Pelan Tindakan Ekonomi Amanah Negara (Pelan Amanah) sebagai pelan perancangan untuk mewujudkan model ekonomi masa depan Malaysia serta memberi pelindungan saksama kepada setiap lapisan masyarakat adalah selaras dengan perjuangan Perkasa selama ini.

Bagaimanapun, cadangan tersebut hanya bersifat dasar dan perlu memperincikan dalam bentuk yang lebih spesifik menerusi satu pelan induk jika benar perkara itu mampu memberi manfaat besar kepada rakyat.

"Walaupun disebut untuk kemakmuran bersama, beliau perlu menjelaskan secara terperinci seperti yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa mengumumkan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera baru-baru ini yang jelas dengan agenda untuk membantu bumiputera," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau percaya sesuatu tindakan yang baik mampu menarik sokongan rakyat, namun Tengku Razaleigh perlu menjelaskan secara komprehensif kepada orang ramai supaya hala tuju cadangan tersebut dapat dicapai secara bersama.

Semalam, ketika menyampaikan ucaptama Majlis Pelancaran Meja Bulat Ekonomi anjuran Yayasan Mahkota di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Tengku Razaleigh berkata, formulasi dan pelaksanaan Pelan Amanah mesti berada dalam lingkungan konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan yang mewakili kontrak sosial antara rakyat di negara ini.

"Perkasa selama ini melihat pelbagai kenyataan dasar yang diumumkan semuanya nampak baik tetapi akhirnya matlamat tak tercapai kerana kelemahan dari segi pelaksanaannya.

"Kami ingin mengingatkan apa yang hendak ditentukan bukan sahaja satu pelan ekonomi yang dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat tetapi agenda bumiputera sebagai agenda nasional," katanya.

Tegas beliau, Perkasa mahu melihat kehidupan rakyat semua kaum terjamin bebannya dan pembahagian kekayaan kek ekonomi negara dapat membantu 97.9 peratus bumiputera.

Ibrahim berkata, jika pembahagian kek ekonomi tidak dibahagi-bahagikan secara seimbang, maka kepimpinan negara perlu campur tangan dengan mengemukakan tindakan yang dilihat bukan hendak 'menolong' bumiputera semata-mata tetapi berdasarkan kepada kepentingan nasional. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment