My Add

Monday, 30 September 2013

Lelaki baru kahwin mati lemas ketika selamatkan adik bongsu

LEDANG, AHAD, 29 September, 2013: Tindakan seorang lelaki yang bersungguh-sungguh mengajak isteri yang baru dikahwininya awal bulan ini dan seorang adik lelakinya mandi-manda di Air Terjun Asahan di Jasin, Melaka, berakhir dengan dia mati lemas hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 10.20 pagi itu, mangsa, Mohd. Khidil Ismeet Anuar, 25, lemas ketika cuba menyelamatkan adik bongsunya, Mohd. Aliff Najmi, 13, yang tergelincir ke dalam kawasan air terjun berkenaan.

Menurut Mohd. Aliff, dia bersama abang dan kakak iparnya itu tiba di kawasan tersebut untuk bermandi-manda kira-kira pukul 9 pagi.

"Kami bertiga bersama ayah dan ibu sedang bercuti di kampung halaman di Kampung Bekoh, di sini setelah tiba dari Kuala Lumpur semalam.

"Kira-kira pukul 9 pagi, abang (mangsa) bersungguh-sungguh mengajak saya dan kakak (isteri mangsa) untuk mandi di air terjun itu yang jaraknya tidak jauh dari kampung.

"Saya tidak sangka itu permintaan terakhir abang sebelum dia lemas kerana cuba menyelamatkan saya yang tergelincir dan terjatuh dalam kawasan air terjun itu," katanya ketika ditemui di Hospital Tangkak di sini hari ini.

Jelas Mohd. Aliff, semasa kejadian, dia sedang mandi di kawasan atas air terjun itu dan mahu ke kawasan bawah melalui laluan air yang berbatu tetapi tergelincir dan terjatuh ke kawasan yang airnya dalam.

"Abang yang mengikuti saya dari belakang kemudiannya terjun untuk menyelamatkan saya dengan menolak saya ke tempat air cetek namun dia dibawa arus deras ke kawasan air dalam.

"Selepas menyelamatkan saya, dia terkapai-kapai dan terus tenggelam sebelum orang ramai membantu menghubungi pihak penyelamat," ujarnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jasin, Johari Masum berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 10.25 pagi.

"Seramai enam pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jasin dan Jasin Bestari serta lapan anggota Unit Skuba dari Jalan Kubu tiba di tempat kejadian pada pukul 11.10 pagi.

"Mangsa berjaya ditemui oleh pasukan penyelamat pada pukul 12.08 tengah hari di kawasan dia dikatakan lemas itu dan dihantar ke Hospital Ledang untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan kes tersebut. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment