My Add

Saturday, 28 September 2013

Thailand Week 2013 sasar jualan RM1.5 juta

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 27 September, 2013:. - Thailand Week 2013, pameran produk dari Thailand menyasarkan peningkatan transaksi jualan sebanyak RM1.5 juta berbanding RM1 juta tahun lalu.

Program kali kelima anjuran Jabatan Antarabangsa Promosi Perdagangan di bawah Kementerian Perdagangan Thailand itu sebelum ini dikenali sebagai Thailand Trade Fair.

Pengarah Menteri Kaunselor, Pejabat Perhubungan Komersial, Kementerian Perdagangan Thailand, Vichada Pabunjerkit berkata, penyertaan daripada lebih 60 syarikat meliputi pelbagai sektor dijangka dapat membantu meningkatkan jualan Thailand Week 2013.

Katanya, sehingga kini, Thailand merupakan rakan perdagangan kedua terbesar Malaysia di ASEAN manakala Malaysia adalah rakan perdagangan kelima Thailand di rantau ini.

"Nilai dagangan dua hala di antara Malaysia dan Thailand telah menunjukkan trend yang sihat dengan mencatatkan jumlah sebanyak RM24 bilion pada tahun lalu dan RM10.16 bilion untuk lima bulan pertama tahun ini.

"Pihak kami optimis untuk mencapai peningkatan dua kali ganda dalam perdagangan dua hala menerusi Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) yang akan dilaksanakan pada tahun 2015," katanya dalam sidang akhbar majlis perasmian Thailand Week 2013 di sini hari ini.

Turut hadir, duta Thailand di Malaysia, H.E Krit Kraichitti.

Vichada berkata, Thailand turut menyasarkan 60 padanan perniagaan berbanding 50 pada tahun lalu setelah program Thailand Week berakhir.

"Pada hari pertama sahaja, kami telah berjaya menarik sebanyak 16 padanan perniagaan," katanya.

Thailand Week 2013 yang berlangsung pada 27 hingga 29 September ini di Pusat Pameran Midvalley dijangka akan menarik 60,000 pengunjung.

Antara barangan yang boleh didapati sepanjang tempoh program termasuk produk makanan dan minuman halal, produk kesihatan, kecantikan, kraftangan dan banyak lagi. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment