Ambil tindakan tegas terhadap Comango
KUALA LUMPUR, AHAD, 27 Okober, 2013: Kerajaan digesa mengambil tindakan tegas untuk menghentikan kegiatan Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) yang menyinggung sensitiviti umat Islam di negara ini.
Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya berkata, tuntutan-tuntutan yang dikemukakan Comango pada sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) di Geneva, Switzerland baru-baru ini turut menyentuh hak orang Melayu.
Menurut beliau, kegiatan Comango yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan itu boleh menggugat kestabilan negara sekiranya dibiarkan berterusan.
"Saya ingin mengingatkan Comango agar jangan mencampuri hal ehwal agama Islam dan menuntut hak kebebasan orientasi seks bagi golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
"Tindakan Comango mengemukakan tuntutan-tuntutan pada sesi UPR adalah tidak wajar dan perbuatan itu seperti menghina negara sendiri," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Aminuddin mengulas tuntutan yang dibuat Comango pada pusingan kedua sesi UPR ke atas Malaysia di hadapan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, 24 Oktober lalu.
Antara tuntutan dikemukakan Comango adalah hak kebebasan orientasi seks bagi golongan LGBT, hak kebebasan murtad bagi orang Islam dan hak kesamarataan agama di negara ini.
Beliau menambah, kerajaan mesti bertegas dalam mempertahankan kedudukan Islam walaupun menerima tekanan kuat daripada beberapa negara terlibat dalam sesi UPR itu.
Dalam pada itu, Pengerusi Institut Profesional Baitulmal, Datuk Dr. Ismail Ibrahim berkata, tujuan Comango adalah untuk menjatuhkan imej positif Malaysia di luar negara.
Jelas beliau, pada zahirnya, banyak perkara yang dikemukakan Comango merupakan tuduhan melulu dan tidak berasas.
"Banyak perkara yang dituntut itu terang-terangan bercanggah dengan ajaran agama sendiri, seperti kebebasan seksual yang bukan hanya ditentang oleh Islam malah Katolik dan Kristian sendiri menentangnya.
"Bukankah dengan itu mereka membuat tuntutan untuk menjadikan masyarakat kita sebagai masyarakat sekular, sungguhpun mereka menafikan hal ini?," katanya seperti dipetik dari entri bertajuk 'Jika kamu tidak malu, lakukanlah apa-apa saja yang kamu mahu' di blognya di http://profismail.blogspot.com hari ini.
Sementara itu, Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay memberitahu, tuntutan-tuntutan yang dibuat oleh Comango itu tidak mewakili suara umat Islam sebagai kumpulan majoriti di Malaysia.
Jelas beliau, kerajaan tidak boleh berkompromi dengan desakan mana-mana pihak atau negara untuk 'menghalalkan' amalan LGBT yang dikutuk oleh Islam.
"Jika dibiarkan, kita bimbang gejala seks songsang akan berleluasa sehingga meruntuhkan keharmonian dalam masyarakat," ujarnya.
Amir Amsaa turut menyifatkan Comango bersikap tidak adil kerana mereka berdiam diri terhadap penindasan yang dilakukan terhadap umat Islam di negara-negara lain. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment