KUALA LUMPUR, AHAD, 27 Oktober, 2013: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memberi kuasa kepada Ketua Audit Negara untuk mengaudit syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC).
Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, GLC sewajarnya tertakluk di bawah kuasa Ketua Audit Negara kerana syarikat-syarikat berkenaan menggunakan wang rakyat apabila menerima suntikan kewangan daripada kerajaan selain turut menerima projek-projek istimewa.
"GLC tertakluk di bawah Akta Syarikat, oleh kerana itu yang mengaudit GLC adalah firma-firma perakaunan bertauliah yang kemudian membentangkannya dalam mesyuarat agung syarikat itu.
"Bagaimanapun, kita minta laporan audit oleh firma perakaunan diserahkan kepada Ketua Audit Negara untuk disemak ketelusannya dan laporan itu juga dibentangkan di Parlimen," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Ibrahim, Perkasa menggesa semua laporan audit GLC diselia oleh Ketua Audit Negara termasuk Petronas.
"Memang sekarang ini GLC diaudit oleh firma perakaunan bertauliah tetapi maklum sahajalah, mereka (firma perakaunan) juga syarikat yang berniaga, mereka mahu mengaudit untuk syarikat-syarikat besar dan menjadi baik kepada syarikat itu," katanya.
Tambahnya, Perkasa juga menubuhkan Jawatankuasa Pemantau GLC untuk mengumpul laporan mana-mana pihak yang tidak berpuas hati berurusan dengan GLC terutamanya dalam perkara pelaksanaan agenda bumiputera.
Dalam pada itu, Ibrahim memberitahu, Perkasa akan mengadakan persidangan agung kali keempat pada 14 Disember ini bagi meminda Perlembagaan pertubuhan itu.
"Kita akan pinda Perlembagaan agar struktur Perkasa tidak lagi mengikut daerah sebaliknya mengikut kawasan Parlimen agar dapat memperkukuhkan lagi akar umbi," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment