Pantau kesan pemansuhan subsidi gula
KUALA LUMPUR, AHAD, 27 Oktober, 2013: Pihak berkuasa digesa melakukan pemantauan ke atas peniaga bagi memastikan mereka tidak menaikkan harga barangan sesuka hati ekoran pemansuhan subsidi gula.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Shaani Abdullah berkata, tindakan menaikkan harga barangan yang dijual perlu ditangani demi kebaikan pengguna.
"Peniaga boleh naikkan harga tetapi jangan keterlaluan, terutamanya peniaga kedai makan, kita bimbang mereka mengambil kesempatan menaikkan harga jualan terlalu tinggi.
"Sebagai contoh, di kedai makan, harga secawan teh sebelum ini adalah RM1.20, mungkin akan meningkat kepada RM1.30 atau RM1.40 kerana kos ditanggung oleh pekedai, kalau hendak naikkan harga lima sen sudah cukup, jangan melampau," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Beliau mengulas isu kenaikan harga gula setelah subsidi 34 sen dimansuhkan menerusi pembentangan Bajet 2014 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Jumaat lalu.
Pemansuhan itu bermakna harga gula dinaikkan daripada RM2.50 sekilogram kepada RM2.84.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan, Mohd. Yusof Abd. Rahman berkata, peniaga tidak seharusnya menaikkan harga tetapi mencari alternatif lain.
"Perkara seperti ini memang sudah dijangka, tetapi peniaga haruslah bijak kerana apabila harga gula mahal, seharusnya kurangkan penggunaan bahan ini, bukannya menaikkan harga.
"Pihak kerajaan perlulah mengenakan tindakan tegas kepada peniaga yang sengaja menggunakan kesempatan untuk mengaut keuntungan berlebihan agar perkara ini menjadi pengajaran kepada peniaga-peniaga lain,' katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment