Anwar perlu henti manipulasi GST
BATU PAHAT, AHAD, 27 Oktober, 2013: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa menghentikan politik murahan dengan memanipulasi pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kononnya membebankan rakyat.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ab. Aziz Kaprawi berkata, tindakan Anwar memanipulasi GST untuk kepentingan politik meskipun mengakui hakikat kelebihannya boleh menjejaskan masa depan ekonomi negara dan rakyat.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan menambah, sebagai Penasihat Ekonomi Selangor, Anwar pastinya mengetahui GST bukan sistem pencukaian yang merugikan rakyat sebaliknya telah memberi kebaikan kepada rakyat di keseluruhan negara yang melaksanakannya.
"Sebenarnya, pembangkang yang diketuai Anwar kekeringan modal berdasarkan prestasi kerajaan Barisan Nasional (BN), sebab itu mereka cuba takutkan rakyat dengan isu GST.
''Tetapi apa yang penting, masyarakat perlu tahu kerajaan BN sentiasa menjuarai kepentingan rakyat dalam membuat sesuatu keputusan," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Tabung Perajurit dan bergotong-royong membersihkan pejabat baharu Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Sri Gading di Parit Raja, di sini hari ini.
Ab. Aziz mengulas tindakan pemimpin pembangkang yang menggunakan isu GST untuk menyerang Bajet 2014, kononnya pelaksanaan sistem pengutan cukai baharu itu akan menindas rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sri Gading, Lassim Borhan berkata, pembangkang memperlihat contoh berpolitik yang tidak baik selepas sanggup melakukan apa sahaja demi cita-cita mereka.
Menurutnya, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sri Gading sebelum ini sering menjadikan pelan ekonomi Singapura yang menggunakan GST sebagai contoh dalam ceramah mereka.
Walau bagaimanapun, tambah beliau, ketika negara berhasrat melaksana sistem pencukaian yang sama malah lebih baik, mereka cuba bertindak sebagai jaguh dan menentang pelaksanaannya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment