My Add

Monday, 28 October 2013

Pembangkang mahu sabotaj Bajet 2014 - Razali

MUAR, AHAD, 27 Oktober, 2013: Tindakan pembangkang menjadikan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebagai modal mensabotaj Bajet 2014 boleh membebankan rakyat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata, perbuatan itu jelas tidak bertanggungjawab selain gagal mencari kelemahan memburuk-burukkan bajet tersebut yang dibuat secara realistik dan holistik.

Menurutnya, kerajaan bersedia menerima kritikan daripada pembentangan bajet itu namun bukan menerusi pendekatan pembangkang yang dilihat cuba menggagalkan pelaksanaannya selain bertujuan mengelirukan rakyat.

"Kerajaan faham kita tidak dapat memuaskan hati semua pihak tetapi demi kepentingan rakyat secara keseluruhan, kita harus membuat yang terbaik dalam Bajet 2014," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan di Parlimen Muar di Jeti Parit Jawa, di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan pemimpin pembangkang yang menggunakan isu GST untuk menyerang Bajet 2014, kononnya pelaksanaan sistem pengutan cukai baharu itu akan menindas rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Razali berkata, GST dijadikan modal utama pembangkang untuk menimbulkan persepsi buruk sedangkan terlalu banyak keuntungan yang bakal dinikmati rakyat menerusi pelaksanaannya.

Dalam masa sama, tambahnya, pembangkang masih boleh memberi cadangan berhubung pelaksanaan dasar itu memandangkan negara masih mempunyai baki kira-kira 17 bulan lagi sebelum dilaksanakan.

Menurutnya, Bajet 2014 juga dirangka kerajaan dengan penuh tanggungjawab mengikut unjuran dan kemampuan perbelanjaan berdasarkan potensi kewangan negara serta kedudukan ekonomi semasa yang positif.

"Banyak perbezaan antara bajet kerajaan dengan pembangkang dan rakyat perlu menilainya supaya tidak terus tertipu seperti bajet-bajet mereka sebelum ini yang sering menjadi tanda-tanya," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment