Usaha tarik ahli Melayu sertai Gerakan
KUALA LUMPUR 2, AHAD, 27 Oktober, 2013: Memperkukuhkan kedudukan parti selain 'mengaut' sokongan besar golongan muda termasuk anak-anak Melayu, merupakan matlamat dua pemimpin Melayu dalam parti Gerakan.
Dua pemimpin Melayu tersebut ialah Dr. Asharuddin Ahmad dan Raja Muharimi Raja Muhammad yang masing-masing memenangi jawatan Naib Presiden Gerakan dan Naib Ketua Pemuda Gerakan dalam pemilihan parti itu, semalam.
Malah, kedua-dua mereka yang memilih Gerakan sebagai landasan perjuangan politik yakin pucuk pimpinan baharu parti itu mampu mengembalikan zaman kegemilangan Gerakan yang dahulu.
Kata Asharuddin, Gerakan tidak boleh bergerak dengan cara lama, sebaliknya perlu berubah dalam landskap politik yang semakin kompleks.
''Saya melihat dalam pemilihan kali ini, ada semangat perpaduan apabila pelbagai kaum termasuk Melayu dipilih menduduk jawatan," katanya kepada Utusan Malaysia selepas sesi penggulungan dan penangguhan Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan Ke-42 di Dewan Wawasan Tun Dr. Lim Keng Yaik, di sini hari ini.
Dalam pemilihan parti kali ini, Asharuddin memenangi jawatan Naib Presiden dengan 1,104 undian manakala Raja Muharimi mendapat sokongan tertinggi berbanding empat calon lain untuk merebut jawatan Naib Ketua Pemuda Gerakan menerusi 354 undian.
Sementara itu, Raja Muharimi memberitahu, selain usaha mewujudkan perpaduan parti dengan 'kehadiran' anak Melayu, penglibatannya dalam Gerakan adalah untuk merungkai isu-isu Islam yang gagal diberikan penerangan tepat kepada pemimpin bukan Islam lain. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment