Dicerai talak tiga selepas tiga jam bernikah
BAYAN LEPAS, SELASA, 29 Oktober, 2013: Entah mana silapnya, mahligai cinta seorang gadis berusia 21 tahun yang baru sahaja dibina tiba-tiba musnah apabila diceraikan suaminya tidak sampai tiga jam selepas mereka bernikah di sebuah masjid di Teluk Kumbar, di sini Ahad lalu.
Lebih malang, wanita berusia 21 tahun itu bukan sahaja diceraikan dengan talak tiga tetapi turut ditendang oleh bekas suaminya berusia 19 tahun sebanyak dua kali di belakang badan semasa mahu meminta penjelasan mengenai perkara tersebut di rumah bekas mentuanya di Balik Pulau.
Menurut wanita tersebut yang hanya ingin dikenali sebagai Sasha, mereka merancang majlis pernikahan itu sejak dua bulan lalu dan tiada tanda-tanda lelaki berkenaan ingin memutuskan perhubungan mereka biarpun perubahan sikapnya agak ketara selepas kali terakhir keluar menonton wayang pada 28 Ogos lalu.
"Selepas keluar tengok wayang Ogos lalu, bekas suami saya mula bersikap dingin dan jarang berhubung termasuk menjawab panggilan saya sedangkan tarikh pernikahan kami sudah dekat.
"Segala urusan perkahwinan kami diuruskan kedua-dua bapa kami sehinggalah tiba majlis pernikahan yang berlangsung kira-kira pukul 2 petang di sebuah masjid di sini baru-baru ini," katanya di sini hari ini.
Tambah wanita itu, insiden bermula selepas bekas suaminya selesai menyarungkan sebentuk cincin serta menyerahkan mas kahwin bernilai RM300 di hadapan kadi, kedua-dua ahli keluarga termasuk saksi perkahwinan.
Jelasnya, ketika majlis itu riak wajah lelaki terbabit tidak riang malah dia datang dengan memakai sepasang baju Melayu dan beliau pula memakai baju kurung biasa.
"Sebaik sahaja selesai majlis tersebut, kami menjemput ahli keluarga pengantin lelaki datang ke rumah untuk menikmati juadah yang disediakan secara kecil-kecilan.
"Kami menunggu rombongan pengantin lelaki selama sejam tetapi mereka tidak datang sebelum abang ipar membawa saya ke rumah mereka di Balik Pulau," ujarnya yang kini menunggu proses penceraian di Pejabat Agama Islam Daerah Barat Daya.
Ketika di rumah itu katanya, bekas suaminya mula naik angin dan terus melafazkan cerai talak tiga di hadapan ahli keluarga mereka selepas dia ditendang dua kali di belakangnya.
Sasha menambah, sehingga hari ini bekas suami mahupun ahli keluarganya langsung tidak menghubunginya untuk menjelaskan perkara sebenar berlaku.
"Saya keliru dan tertekan dengan apa yang berlaku dan masih tertanya-tanya apakah punca sebenar saya diperlakukan begitu," katanya yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pusat beli belah.
Sementara itu, bapa Sasha yang enggan dikenali berkata, anaknya seolah-olah dianiaya sedangkan hubungan perkahwinan mereka mendapat restu ahli keluarga masing-masing. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment