My Add

Wednesday, 30 October 2013

Hilda anggota wanita K9 PDRM pertama

 *HILDA Wilson Gunong bersama anjing pengesan K9 ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, SELASA, 29 Oktober, 2013: Selepas 49 tahun penubuhan Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM), buat julung kalinya pasukan itu disertai oleh anggota wanita pada tahun ini.

Anggota berkenaan, Koperal Hilda Wilson Gunong, 29, dipilih untuk menyertai pasukan itu pada 27 Oktober lalu selepas menjalani latihan pengendalian K9 selama empat bulan.

Menurut anggota polis berketurunan Iban itu, beliau berbangga kerana terpilih menjadi wanita pertama menyertai unit berkenaan sekali gus membuktikan golongan itu juga mampu menjalani apa jua tugasan yang diarahkan.

"Selepas latihan selama empat bulan, saya sudah mula dapat menyesuaikan diri untuk bertugas bersama anjing jenis Labrador yang diberi nama Dahir.

"Malah rakan-rakan lelaki juga banyak membantu hingga tidak lagi kekok untuk menjalankan tugas bersama mereka walaupun saya hanya seorang perempuan dalam unit ini," katanya ketika ditemui di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol), di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Bantuan Teknik (D6) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Asisten Komisioner Ibrahim Chim berkata, K9 ketika ini mempunyai 145 ekor anjing terlatih yang berkebolehan mengesan penjenayah, dadah, mayat, senjata api dan bahan letupan.

Katanya, terbaharu K9 telah menambah sembilan ekor anjing pada tahun ini bagi memantapkan lagi pasukan polis dalam menyelesaikan kes-kes jenayah khususnya dalam tugas pemeriksaan di tempat kejadian.

"Anjing-anjing berkenaan ditempatkan di 21 lokasi di seluruh negara mengikut keutamaan.

"Perkara ini penting kerana selain membantu dalam siasatan kes jenayah, K9 juga diarah untuk membantu dalam tugas rondaan cegah jenayah khususnya di kawasan panas yang kerap berlaku jenayah," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment