My Add

Wednesday, 30 October 2013

15 buah rumah atas air musnah dalam kebakaran

 *ORANG ramai hanya mampu melihat kebakaran yang memusnahkan sejumlah rumah di Kampung Awat Awat, Lawas, Sarawak, semalam kerana lokasinya terletak di sebarang sungai.
LAWAS, SELASA, 29 Oktober, 2013: Lebih 60 penduduk di Kampung Awat Awat, Sundar di sini hilang tempat tinggal selepas 15 buah rumah di perkampungan atas air itu musnah dalam kebakaran hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu dipercayai bermula dari bilik sebuah rumah sebelum merebak ke kediaman lain yang terletak berdekatan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Nor Hisham Mohammad berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran itu.

"Balai Bomba dan Penyelamat Lawas menerima panggilan kecemasan daripada penduduk pukul 12.18 tengah hari dan seramai 32 anggota berkejar ke tempat kejadian lima minit kemudian.

"Anggota bomba mengalami kesukaran untuk ke lokasi kejadian berikutan kampung tersebut terletak di seberang sungai menyebabkan dua jentera yang membawa muatan air tidak boleh ke sana," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Nor Hisham berkata, seramai lapan anggota sukarela turut terlibat dalam operasi memadam dan mereka terpaksa menaiki bot yang mengambil masa 10 minit untuk sampai ke lokasi kejadian.

Katanya, kira-kira pukul 1 petang kesemua anggota bomba tiba di lokasi kejadian dan mereka terpaksa menggunakan pam mudah alih untuk memadamkan api.

"Anggota bomba berjaya mengawal kebakaran setengah jam kemudian dengan bantuan penduduk kampung yang turut membantu memadam api menggunakan bekalan air di rumah masing-masing.

"Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment