My Add

Wednesday, 30 October 2013

Dua pensyarah KUIs dibuang kerja

KUALA LUMPUR, SELASA, 29 Oktober, 2013: Dua pensyarah Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) Bangi dibuang kerja dan beberapa lagi diturunkan pangkat, termasuk dikurangkan gaji kasar sebanyak 25 peratus selama setahun serta ditangguh kenaikan selama setahun sebagai hukuman kerana membantah pentadbiran pihak kolej.

Mereka adalah antara 24 pensyarah dan kakitangan KUIS yang diambil tindakan siasatan dalaman oleh pihak pengurusan lama kolej kerana bersama-sama dengan 176 yang lain menghantar memorandum bantahan terhadap pihak pengurusan kolej kepada pelbagai pihak termasuk Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada awal tahun ini.

"Pensyarah yang dibuang kerja itu belum lagi mengambil surat hukuman tersebut tetapi telah dimaklumkan tentang hukuman tersebut manakala yang dipotong gaji sebanyak 25 peratus mula berkuat kuasa pada 1 November ini," kata sumber kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dijangka lebih ramai lagi pensyarah KUIS yang akan diambil tindakan diberhentikan kerja, sekali gus menyebabkan kolej itu kehilangan hampir lima peratus kakitangan akademiknya.

Sumber berkata, tindakan yang diambil itu disifatkan satu bentuk sabotaj di saat KUIS mula mengalami pelbagai transformasi dan perubahan positif termasuk berjaya mendapatkan semula bayaran hutang sebanyak RM7.8 juta di bawah pengurusan baharu KUIS, diketuai Prof. Madya Datuk Dr. Abdul Halim Tamuri yang dipinjamkan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bermula Julai lalu.

"Tindakan sepatutnya diambil terhadap pihak pengurusan lama kerana kegagalan mereka menguruskan KUIS ini dengan baik. Mereka yang berusaha mengembalikan semula kecemerlangan KUIS pula yang diambil tindakan dan lebih menghairankan mengapa tindakan diambil terhadap 24 orang sahaja, tidak kesemua 200 pensyarah dan kakitangan KUIS yang bersetuju menandatangani memorandum bantahan tersebut?

"Kami benar-benar tidak berpuas hati dengan tindakan tersebut. Ini merupakan satu sejarah hitam dalam dunia akademik negara kerana melibatkan para pensyarah yang telah berkhidmat lebih daripada 10 tahun, begitu komited terhadap tugas sehingga meletakkan kepentingan pelajar melebihi kepentingan diri sendiri," katanya.

KUIS sebelum ini dilanda pelbagai kemelut dalaman dan luaran yang menyaksikan antara lain pihak pengurusannya didakwa membekukan kenaikan gaji tahunan kakitangan sejak 2011. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment