My Add

Wednesday, 30 October 2013

DMS Dynamic, Kopetiwi memeterai MoU Skim Bas1M

 *NURHANIS Abdul Aziz (kiri) dan Rose Zalikha Jasni menunjukkan Logo Bas Sekolah 1Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, SELASA, 29 Oktober, 2013: DMS Dynamic Sdn. Bhd. (DMS Dynamic) dan Koperasi Pemandu Teksi Selangor Bhd. (Kopetiwi) hari ini memeterai perjanjian persefahaman (MOU) bagi melaksana Skim Bas Sekolah 1Malaysia (Bas1M).

Perjanjian selama sembilan tahun itu membolehkan kira-kira 3,000 pengusaha bas sekolah bas sedia ada memperoleh permit bagi menjalankan operasi harian mereka.

Pengerusi DMS Dynamic, Datuk Mohd. Sani Mohd. Nor berkata, pihaknya juga bertindak sebagai pemudah cara antara Kopetiwi dan pengusaha bas sekolah bagi pengurusan pinjaman dengan Bank Rakyat selain menjadi pembekal eksklusif kenderaan Chery Transcom kepada ahli koperasi terbabit.

"Keutamaan mendapatkan permit diberikan kepada ahli berdaftar dengan koperasi, namun ketika ini hanya 300 sahaja yang memohon daripada 1,000 permit yang sudah diluluskan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

"DMS juga akan memastikan pemberian rebat sebanyak RM10,000 dan pengurangan cukai jualan RM6,400 diberikan kepada ahli berdaftar yang memohon bagi membolehkan mereka mendapat manfaat disediakan menerusi MoU ini," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mewakili DMS menandatangani MOU itu bersama Pengerusi Kopetiwi, Nazri Ismail yang disaksikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan , Datuk Hasan Malek dan Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar.

Yang hadir sama, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang; Ketua Pengarah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Munirah Abdullah Bajanuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Chery Automobil Sdn. Bhd., Paul Ng.

Mohd. Sani berkata, MoU itu bertujuan membantu ahli-ahli koperasi yang sebelum ini melaksana operasi bas sekolah tanpa permit untuk beroperasi dengan lebih selamat dan efisien.

"DMS Dynamic bersetuju menggunakan Chery Transcom kerana mempunyai ciri-ciri keselamatan yang telah diluluskan Jabatan Pengangkutan Jalan dan diiktiraf Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Nation serta harganya yang amat berpatutan," katanya.

Untuk peringkat awal, beliau berkata, sekurang-kurangnya 150 kenderaan Chery Transcom beserta permitnya akan diserahkan kepada peserta dalam majlis khas yang bakal disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak awal Disember ini.

Sementara itu, Nazri berkata, skim itu juga dibuka kepada semua pengusaha bas di seluruh negara dengan 70 peratus diberikan kepada bumiputera dan selebihnya kepada bukan bumiputera.

"Keutamaan diberikan kepada ahli koperasi berdaftar dengan Kopetiwi bagi membolehkan mereka mendapat kelebihan ini," katanya.

Terdahulu Hasan dalam ucapannya percaya program itu boleh membantu pengusaha-pengusaha bas sekolah beroperasi dengan lebih berjaya dan bersistematik.

Skim Bas1M antara lain akan menerapkan beberapa konsep bagi memperkasa imej pengusaha bas termasuk penggunaan pakaian seragam, latihan kemahiran keselamatan jalan raya serta menyediakan pusat servis khas bagi memudahkan pengusaha bas menyelenggara bas atau van sekolah. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment