FMM cadang baucar inovasi RM50,000
KUALA LUMPUR, SELASA, 01 Oktober, 2013:Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) hari ini mencadangkan kepada kerajaan untuk mengadakan baucar inovasi bernilai RM50,000 bagi pengusaha kecil dan sederhana (SME) bagi memulakan projek-projek mereka.
Presidennya, Tan Sri Yong Poh Kon berkata, rancangan itu bagaimanapun, masih dalam perbincangan.
"Kami ingin menawarkan baucar ini kepada PKS untuk memulakan projek mereka untuk mengelakkan gangguan kepada proses pengeluaran.
"Bagaimanapun, syarikat-syarikat itu perlu membayar separuh daripada jumlah itu, katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Persidangan Inovasi FMM 2013 di sini hari ini.
Yong menambah, persekutuan itu telah mengemukakan cadangan kepada Perbendaharaan Malaysia bagi insentif-insentif untuk membantu syarikat tempatan membuat pembaharuan kepada perniagaan mereka.
Untuk kekal relevan dalam pasaran, syarikat-syarikat ini perlu berubah, katanya.
"Satu-satu cara yang boleh dilakukan ialah mencipta inovasi dengan menggunakan teknologi terbaru, mencipta cara dan kaedah untuk mengurangkan kos dan menghasilkan produk-produk baharu yang lebih menarik bagi pelanggan," tegas beliau.
Terdahulu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Ewon Ebin yang merasmikan persidangan itu berkata, kerajaan sentiasa mempertimbangkan untuk memberi geran tambahan kepada PKS.
"Buat masa ini, saya rasa dana yang kita ada, sebanyak setengah bilion ringgit, mencukupi,'' ujarnya.
Persidangan sehari bertemakan mengenal pasti peluang, mempercepat pertumbuhan itu menampilkan syarikat-syarikat seperti Top Glove Corp, Agensi Inovasi Malaysia, Google Malaysia dan Nestle Malaysia untuk berkongsi buah fikiran masing-masing dengan peserta. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment